Kes eHati: Polis tunggu laporan pakar, 95 individu sudah dirakam keterangan

Iklan
Shazeli (tengah) dalam sidang media di IPD Sepang pada Isnin.

SEPANG - Polis masih menunggu laporan pakar daripada agensi berkaitan berhubung barang kes yang dirampas dalam siasatan kes program motivasi rumah tangga, eHati.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sehingga kini polis telah mengambil sebanyak 95 rakaman percakapan melibatkan individu yang bekerja dalam program terbabit, peserta serta kakitangan pusat konvensyen tempat program berlangsung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rujukan telah dibuat kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan beberapa arahan telah diberikan kepada pihak polis bagi meneruskan siasatan.

“Kita ambil maklum perkara itu dan pihak kami masih lagi menunggu beberapa laporan pakar daripada agensi-agensi yang telah kita hantar barang kes,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas mengenai kandungan ‘air piya’ yang digunakan semasa program tersebut, Shazeli berkata, barang itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.

Jelasnya, laporan masih belum diterima dan tempoh itu bergantung kepada tahap kompleksiti kes.

Iklan

“Pelbagai barang dirampas dalam kes ini termasuklah alat telekomunikasi,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Polis Selangor mengesahkan wujud adegan bogel dalam program motivasi terbabit yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.

Siasatan polis mendapati adegan itu merupakan sebahagian daripada acara program dikenali sebagai ‘Queens Night’ yang bersifat tidak bermoral dan berunsur lucah, selain aktiviti yang dipanggil ‘Rebirth’ kononnya untuk menaikkan motivasi diri.

Siasatan turut mendapati terdapat dua pakej ditawarkan berkaitan program itu iaitu pakej A dengan bayaran sebanyak RM6,000 dan pakej B berharga RM9,000.

Pakej B dipercayai berakhir dengan acara ‘Queens Night’.