SHAH ALAM - Polis mengesahkan laporan telah dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas anggotanya dibaling mercun oleh sekumpulan penunggang motosikal semasa melaksanakan operasi di Rawang baru-baru ini.
Difahamkan, laporan itu dibuat di Balai Polis Kundang, Gombak pada Ahad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan sedang dijalankan oleh pihaknya.
“Polis sedang mengesan individu yang terlibat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan kesalahan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta benda.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu berlaku ketika sepasukan anggota penguat kuasa JPJ menjalankan rondaan Op Tahun Baharu Cina di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri, Rawang.
Penahanan itu dibuat selepas mendapati penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar.
Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kesalahan dilakukan termasuk menunggang tanpa lesen memandu yang sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
Notis saman dikeluarkan kepada kedua-dua individu berkenaan.
Bagaimanapun, ketika pegawai mengeluarkan notis tersebut, sekumpulan penunggang motosikal yang dianggarkan antara 20 hingga 30 orang dipercayai mula membaling mercun beberapa kali dari sebuah bukit.
Berikutan itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia membahayakan anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.
Azrin berkata, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya kesalahan melibatkan menunggang tanpa lesen, tiada insurans dan gagal memakai topi keledar.