Tokoh kewangan Islam Daud Bakar didakwa berniaga sekuriti tanpa lesen

Iklan
MOHD DAUD

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas satu pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.

Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai wakil Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT yang menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti.

AUF MBZ bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti.

Iklan

Kesalahan AUF MBZ akibat persubahatan Energy Eco didakwa dilakukan di Pusat Perniagaan Reef, Rawang, antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama perenggan 370(c) serta subseksyen 367(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shoba Venu Gobal berkata, kes berkenaan sangat serius dan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Beliau mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di pejabat SC terdekat.

Bagaimanapun, peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Mohd Daud merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sejak siasatan dijalankan bermula 2024.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norma membenarkan Mohd Daud diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 April depan.

Sementara itu, di mahkamah sama, ahli perniagaan Datuk Muhamad Iqbal Mohamad, 47, selaku pengarah QEW Group Berhad, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan AUF MBZ melakukan kesalahan sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor antara 3 September 2021 hingga 15 Februari 2024 dan pertuduhan dibuat mengikut seksyen serupa.

Dia yang diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan berkenaan.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan media, SC mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum menyerahkan wang dan mempertimbangkan peluang pelaburan.

Menurutnya, Senarai Amaran Pelabur SC sentiasa dikemas kini bagi membimbing orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan atau tidak berlesen.

“AUF MBZ dan pengasasnya, Datuk Mahadi Badrul Zaman sebelum ini telah diletakkan dalam Senarai Amaran Pelabur SC pada 26 Februari 2024,” katanya.

Pada Isnin, Mahadi, 43, didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ menjalankan aktiviti berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah vila di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024 dan didakwa mengikut seksyen sama.