2 individu didenda RM800 gagal beri keterangan miliki wang cecah RM30,000

Iklan
Gambar hiasan

PETALING JAYA - Dua individu didenda masing-masing RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana gagal memberikan keterangan yang munasabah berhubung milikan wang RM23,600 dan RM7,000 dalam akaun bank tahun lalu.

Ling Weng Hong, 22 dan Siti Farhah Johar, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah masing-masing atas satu pertuduhan yang dibaca secara berasingan, di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, pembantu dapur, Weng Hong didakwa ada dalam milikannya di akaun Hong Leong Bank, wang berjumlah RM 23,600 kepunyaan seorang wanita berusia 47 tahun.

Iklan

Lelaki itu tidak dapat memberikan keterangan yang munasabah mengenai cara dia memperoleh wang berkenaan di Jalan Seroja, Kampung Kayu Ara, di sini pada 28 Oktober 2024.

Sementara itu, Siti Farhah pula didakwa ada dalam milikannya wang berjumlah RM7,000 kepunyaan seorang lelaki berusia 23 tahun di akaun Maybank tertuduh.

Iklan

Dia didapati gagal memberikan penjelasan yang sama di Maybank cawangan Kelana Jaya di sini pada jam 1.38 dan 1.41 petang 10 September 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari satu tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi mencadangkan setiap tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Nur Aiman Toharudin yang mewakili Siti Farhah, merayu anak guamnya dikenakan denda yang minimum kerana insaf atas kesalahan yang dilakukan.

Sementara peguam, Jasmine Faith merayu bagi pihak Weng Hong berkata, tertuduh yang juga anak tunggal memohon maaf kepada mahkamah dan berjanji akan berhati-hati sebelum menyerahkan sebarang dokumen penting kepada pihak lain.

"Anak guam telah diperdaya rakannya yang menjanjikan komisyen sehingga RM2,000 sekiranya menyerahkan akaun bank terbabit.

"Selepas dia membuka akaun, individu itu melarikan diri malah Weng Hong tidak mendapat sebarang bayaran," katanya.