KPDN Perak belum terima aduan harga telur naik

Iklan
Saarani (kanan) sambil ditemani Kamalludin menyempurnakan pelancaran Jelajah Promosi Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap pada Isnin.

TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga telur ayam setakat ini susulan penamatan subsidi kerajaan terhadap barangan tersebut.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan harga barangan keperluan secara harian bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita tidak menerima mana-mana aduan berhubung kenaikan harga telur ayam.

"Pemantauan harga barang dibuat setiap hari oleh pegawai kita,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Jelajah Promosi Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap pada Isnin.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan

Saarani (kanan) sambil ditemani Kamalludin menyempurnakan pelancaran Jelajah Promosi Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos.

Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Sementara itu, Kamalludin berkata, aplikasi Price Catcher yang dibangunkan KPDN kini digunakan secara meluas di seluruh negara termasuk di Perak dengan lebih 5,100 pengguna berdaftar.

“Kita galakkan lebih ramai memanfaatkan aplikasi ini kerana ia memudahkan pengguna membandingkan harga barangan di sesuatu kawasan.

“Contohnya, jika mahu membeli ayam, pengguna boleh menyemak premis yang menawarkan harga terendah di kawasan mereka. Aplikasi ini akan senaraikan harga daripada yang paling murah kepada paling mahal secara automatik,” jelasnya.

Katanya, Price Catcher memaparkan 480 jenis barangan meliputi enam kategori utama seperti barangan basah, kering, penjagaan diri, barangan kanak-kanak dan lain-lain.

Tambah beliau, sepanjang bulan kemerdekaan ini, KPDN Perak akan mengadakan jelajah bersama Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negeri bagi mempromosikan aplikasi tersebut.