Peniaga vape guna taktik baru elak dikesan PBT

Iklan
Hilmi (empat, kanan) melakukan pelepasan kenderaan untuk Ops Selamat Papa.

KOTA BHARU – Peniaga vape kini berselindung di sebalik jualan produk elektrik, minyak wangi dan aksesori telefon bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya dapat menghidu tindakan itu hasil aduan orang awam, operasi berkala dan pemerkasaan operasi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kebanyakan peniaga vape merupakan individu sama dan tidak serik selepas dikenakan kompaun kerana keuntungan besar yang diterima hasil jualan rokok elektronik itu.

"Mereka masih menikmati keuntungan walaupun selepas produk itu dirampas dan sanggup bertukar premis dengan menggunakan nama lain," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Papa) Peringkat Negeri Kelantan pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Ahmad Faris Awang.

Iklan

Beliau memberitahu peniaga yang didapati bersalah berniaga rokok elektronik itu akan dikenakan kompaun minimum RM2,000.

Hilmi berkata, sepanjang tahun ini, Majlis Perbandaran Kota Bharu mencatatkan paling banyak rampasan peranti vape iaitu 21,500 unit diikuti Majlis Daerah Tanah Merah sebanyak 2,274 unit dan Majlis Daerah Kuala Krai sebanyak 617 unit.

"Kita turut merampas 10,830 nikotin atau perisa vape membabitkan daerah Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh," katanya.