Tiada lagi amaran, perahu haram masuk Sungai Golok terus dirampas

Iklan
Polis Kelantan mengambil tindakan tegas dengan merampas perahu haram dari Thailand yang memasuki sempadan negara di Sungai Golok berkuat kuasa serta-merta. Gambar kecil: Mohd Yusoff

RANTAU PANJANG – Polis Kelantan memperketat penguatkuasaan di Sungai Golok dengan melaksanakan rampasan serta-merta terhadap perahu dari Thailand yang memasuki sempadan negara secara haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jika sebelum ini tangkapan hanya dibuat melibatkan individu serta rampasan barangan penyeludupan.

Iklan
Iklan

“Tetapi kali ini kita akan melaksanakan juga rampasan terhadap perahu-perahu haram yang masuk ke Malaysia.

“Rampasan pertama telah dibuat pada minggu lalu melibatkan sebuah perahu di Tumpat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan pemasangan kawat berduri di pangkalan haram parkir di Pekan Rantau Panjang, di sini.

Menurut Mohd Yusoff, rampasan terhadap perahu dari Thailand akan dibuat jika terdapat bukti melalui rakaman video dan dron.

Iklan

Ujarnya, perbincangan bersama Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ketua Polis Daerah telah dilakukan bagi melaksanakan perkara tersebut.

“Kali ini tiada amaran. Kita rampas dan tangkap terus kerana sudah lebih setahun pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok telah ditutup.

“Seharusnya semua pihak sudah memahami perkara ini,” katanya.