GAZA – Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif, terbunuh bersama empat lagi rakan setugas dalam serangan tepat yang disasarkan Israel ke atas sebuah khemah wartawan berhampiran Hospital al-Shifa di Bandar Gaza pada malam Ahad.
Menurut Al Jazeera, tujuh individu maut dalam serangan di luar pintu utama hospital itu, termasuk koresponden Mohammed Qreiqeh serta jurukamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa.
Beberapa jam sebelum terbunuh, al-Sharif, 28, yang dikenali sebagai wartawan Al Jazeera Arabic dan banyak membuat liputan di utara Gaza, memuat naik hantaran di platform X melaporkan Israel melancarkan serangan pengeboman besar-besaran dikenali sebagai 'fire belts' di bahagian timur dan selatan Bandar Gaza.
Dalam rakaman terakhirnya, kedengaran letupan kuat serangan peluru berpandu Israel, manakala langit malam disinari cahaya jingga akibat letupan.
Dalam mesej terakhir yang disiapkan pada 6 April lalu untuk disiarkan sekiranya beliau terbunuh, al-Sharif menulis bahawa beliau “menjalani kesakitan dalam segala bentuknya” dan “berulang kali merasai duka serta kehilangan.”
“Namun saya tidak pernah ragu menyampaikan kebenaran sebagaimana adanya, tanpa putar belit atau penyelewengan, dengan harapan ALLAH menjadi saksi terhadap mereka yang membisu, yang merelakan pembunuhan kami dan yang mencekik nafas kami,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesedihan kerana meninggalkan isterinya, Bayan, serta tidak berpeluang menyaksikan anaknya, Salah dan Sham, membesar.
Dalam kenyataan rasmi, Rangkaian Media Al Jazeera mengecam pembunuhan itu sebagai “serangan terang-terangan dan dirancang terhadap kebebasan media.”
“Perintah untuk membunuh Anas al-Sharif, salah seorang wartawan paling berani di Gaza, bersama rakan setugasnya adalah usaha terdesak untuk menutup suara yang membongkar rancangan penaklukan Gaza,” menurut kenyataan itu.
Al Jazeera menggesa komuniti antarabangsa dan badan berkaitan mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan sasaran terhadap wartawan secara sengaja.
Koresponden Al Jazeera, Hani Mahmoud, yang berada hanya satu blok dari lokasi serangan berkata, melaporkan kematian al-Sharif adalah tugas paling sukar sepanjang 22 bulan perang. Menurutnya, wartawan itu dibunuh kerana liputan berterusan mengenai kebuluran dan kekurangan zat di Gaza yang mendedahkan jenayah tersebut kepada dunia.
Sejak Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada Oktober 2023, lebih 200 wartawan dan petugas media terbunuh termasuk beberapa wartawan Al Jazeera serta ahli keluarga mereka. - Agensi