SUNGAI BULOH – Video memaparkan Jalur Gemilang terbalik di sebuah premis di Bandar Pinggiran Subang yang tular di media sosial baru-baru ini sebenarnya merupakan kejadian tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang bekerja sebagai pengurus projek syarikat berkenaan pada jam 4.30 petang, Jumaat lalu.
Beliau berkata, individu terbabit hadir di Balai Polis Kampung Baru Subang untuk menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikatnya dengan kejadian pemasangan bendera terbalik seperti dipaparkan dalam video tersebut.
“Susulan video tular berkenaan, siasatan awal dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Siasatan mendapati bendera tersebut tidak dipasang terbalik seperti didakwa, malah premis terbabit tidak beroperasi sejak dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kejadian sebenar berlaku pada tahun 2024 ketika pemasangan bendera baharu, namun kesilapan itu segera diperbetulkan.
“Siasatan mendapati video lama itu dikongsi semula di aplikasi TikTok tahun ini oleh seorang individu hingga menyebabkan ia kembali tular.
“Semakan polis setakat jam 7 malam mendapati video berkenaan meraih lebih 5,300 komen dan 2,500 perkongsian di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik adalah perkara serius kerana melibatkan simbol kedaulatan negara.
“Kesilapan ini boleh dianggap sebagai tindakan tidak menghormati negara sama ada disengajakan atau tidak dan boleh menimbulkan kemarahan rakyat.
“Orang ramai dinasihatkan menggunakan media sosial secara berhemah serta mengelakkan daripada memuat naik kandungan berunsur fitnah atau mengelirukan,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial memaparkan Jalur Gemilang yang didakwa dipasang secara terbalik di hadapan sebuah premis.