Ubah suai restoran jadi pub, tawar khidmat GRO

Iklan
Polis melaksanakan serbuan Op Mega Pusat Hiburan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Sabtu. (Gambar kecil: Kumar)

KUALA LUMPUR – Premis hiburan dan restoran di sekitar Selangor dan ibu negara yang diubah suai menjadi pub serta bilik KTV dengan menawarkan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) diserbu pada Sabtu.

Operasi Mega Pusat Hiburan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, D7 Kontinjen Selangor serta Kontinjen Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Serbuan bermula jam 10.30 malam turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sebanyak 22 premis hiburan dan restoran membabitkan 16 di Selangor serta enam di Kuala Lumpur yang telah diubah suai menjadi pub dan bilik KTV dipercayai dikendalikan oleh warga asing telah diserbu.

Iklan

“Kesemua premis tersebut dipercayai beroperasi tanpa lesen sah dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.

“Daripada 288 orang yang ditahan, empat adalah penjaga premis, penjaga kaunter (21 orang), pekerja (26 orang), wanita warga Myanmar yang berperanan sebagai pelayan pelanggan (GRO) (66 orang) serta 170 pelanggan warga asing pelbagai negara selain seorang yang berperanan sebagai ‘jaga air’,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia antara 18 hingga 51 tahun terdiri daripada warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh.

Tambah Kumar, polis turut merampas wang tunai, pelbagai peralatan hiburan, minuman keras pelbagai jenama serta beberapa dokumen operasi premis.

“Kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Akta Eksais 1976, Akta Kastam 1976 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Tegasnya, PDRM khasnya JSJ Bukit Aman memandang serius operasi pusat hiburan haram yang dikendalikan warga asing kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan ketenteraman awam.

“PDRM akan terus mempergiatkan operasi bersepadu seperti ini di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya.