KUALA TERENGGANU - Tarian tradisional ulik mayang akan dipatenkan sebagai salah satu warisan budaya negeri Terengganu bagi memastikan ia kekal terpelihara.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, tarian berkenaan akan didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
"Kita berhasrat mengolah versi baharu tarian ini tetapi masih mengekalkan melodi asal. Namun, beberapa elemen persembahan akan diubah, terutamanya yang berkaitan pemujaan atau yang tidak melambangkan budaya masyarakat Terengganu beragama Islam.
"Sari kata yang keras atau bersifat pemujaan juga akan disesuaikan kerana ulik mayang asalnya daripada mentera perubatan yang kemudian diolah menjadi tarian dan nyanyian," katanya ketika ditemui pada Temasya Tranung Kite 2025 (TEGAK 2025) di Pulau Warisan di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Razi Omar.
Menurut Razali, langkah itu penting bagi mengekalkan warisan lama Terengganu supaya generasi akan datang dapat mengenali, menghayati dan mengamati seni budaya nenek moyang yang tidak bercanggah dengan ajaran agama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan kerana memilih Terengganu sebagai tuan rumah temasya itu buat kali kedua.
Selain ulik mayang, Razali memaklumkan seni tarian Rodat juga akan dipatenkan dengan sesi libat urus bersama penggiat sedang dijalankan.
"Kedua-dua seni budaya ini dijangka siap didaftarkan dan distudiokan sebelum Tahun Melawat Terengganu 2027.
"Pendaftaran di bawah MyIPO tidak bermaksud orang lain tidak boleh menari, sebaliknya ia hanya mengesahkan hak milik asal warisan ini adalah milik Terengganu," katanya.