Kayuh beca jelajah 11 negeri semarak semangat kemerdekaan

Iklan
Rosli (tengah) bersama Muhammad Ramadan (kiri) dan Mohd Faiq.

KUANTAN – Mengayuh beca sejauh 2,500 kilometer (km) merentasi 11 negeri bukan tugas mudah, namun sekumpulan lelaki termasuk seorang warga emas daripada Persatuan Beca Persona Melaka membuktikan tiada yang mustahil demi menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Misi tersebut membakar semangat mereka untuk terus berjuang apabila memulakan kayuhan pada 1 Julai lalu di hadapan Menara Taming Sari, Melaka, dan dijangka berakhir pada 30 Ogos di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir.

Iklan
Iklan

Rosli bersama pasukannya memulakan misi kayuhan dengan melalui Pekan, Rompin seterusnya ke beberapa negeri lain sebelum tiba di Melaka pada malam ambang merdeka.

Pengerusi persatuan yang juga ketua misi, Rosli Md Zin, 66, berkata, kayuhan beca itu merupakan hadiah istimewa kepada seluruh rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos nanti.

Iklan

Menurutnya, usaha tersebut bukan sekadar kayuhan biasa, tetapi simbol perjuangan dan cinta terhadap tanah air.

Ini kerana katanya, mereka yakin ia adalah cara berkesan untuk menzahirkan semangat nasionalisme di setiap negeri yang disinggahi.

Iklan

Rosli

“Kami pilih mengayuh beca kerana ia satu cara unik untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan... selalunya orang buat jelajah guna kereta atau motosikal, tapi kami bawa kelainan dengan mengayuh beca yang belum pernah dibuat sebelum ini dalam sejarah.

“Kayuhan ini bukan untuk mencari duit atau publisiti, tetapi kami lakukan dengan ikhlas dari hati kerana mahu tunjukkan semangat patriotik kepada generasi muda, terutama anak-anak sekolah.

“Bila sebut merdeka, jangan sekadar lafaz, tetapi kena faham maksud sebenar di sebalik perkataan itu dan penting supaya semangat perjuangan terus hidup dalam jiwa mereka,” katanya ketika ditemui di Bandaraya Kuantan di sini baru-baru ini.

Perjalanan mereka bermula di Dataran Pahlawan, Melaka sebelum kayuhan seterusnya menghala ke Negeri Sembilan dan Selangor seterusnya merentasi utara dan memasuki pantai timur sebelum kembali semula ke Melaka.

Dua bulan

Rosli memberitahu, kayuhan tersebut dilakukan bersama empat peserta iaitu Mohd Razalie Rafie, 54; Maslizuwan Rosli, 32; Muhammad Faeq Mustapha, 31; dan Muhammad Ramadan Rosli, 22 menggunakan dua unit beca sepanjang kayuhan selama dua bulan.

Menurutnya, sebuah motosikal digunakan sebagai kenderaan sokongan dan bertindak sebagai marsyal bagi membantu menolak beca sekiranya melalui laluan berbukit tinggi.

Kayuhan beca daripada Rosli dan pasukannya merupakan hadiah istimewa daripada mereka kepada seluruh rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

“Kami bergilir-gilir mengayuh... kalau seseorang sudah penat, kami akan bertukar tempat dengan yang lain, begitu juga dengan penunggang motosikal.

“Setiap hari, kami mengayuh sekitar 50 kilometer (km), namun ada hari kami mampu menempuh lebih 90 km bergantung kepada keadaan cuaca dan jalan.

“Jadi, kami perlu mengurus masa dan bajet dengan baik supaya perjalanan berjalan lancar tanpa menimbulkan beban,” jelas bapa kepada enam anak itu.

Berkongsi lanjut mengenai misi itu, Rosli yang ditemani dua anaknya berkata, antara momen manis dan tidak dapat dilupakan adalah ketika mereka tiba di Pendang, Kedah.

Katanya, mereka teruja apabila melihat murid sekolah berbaris di tepi jalan sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan.

“Terus terang cakap, penat kami hilang masa itu... bila anak-anak kecil melihat kami, harap mereka faham bahawa kemerdekaan perlu dihargai serta disemarakkan,” ujarnya.

Rosli menegaskan, misi tersebut mungkin hanya sekali dalam hidup mereka, namun berharap ia menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menyumbang sesuatu kepada negara walaupun dengan cara kecil.

“Saya harap lebih ramai yang berani melakukan perkara seperti ini.

“Kalau kami yang hanya mengayuh beca boleh sampai ke 11 negeri, tiada sebab kita tidak boleh buat apa-apa untuk Malaysia,” katanya.