Pengharaman vape: KKM akan bentang syor pakar ke Kabinet

Iklan
Dr Dzulkefly.

KANGAR - Kementerian Kesihatan sedang menunggu hasil kajian terperinci jawatankuasa pakar berhubung pengharaman rokok elektronik atau vape sebelum membentangkan syor itu kepada Kabinet.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, syor berkenaan yang akan dibentangkan sebaik proses kajian itu selesai menjadi langkah susulan penting ke arah pengharaman produk tersebut di Malaysia.

Iklan
Iklan

“Kita bertekad untuk ini (pengharaman vape), bukan lagi ‘kalau’. Saya akan bentang kepada Kabinet untuk perkara itu diteliti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Sihat Milik Semua di Dewan 2020 di sini pada Sabtu.

Perasmian itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Iklan

Karnival tersebut berlangsung selama dua hari bermula Sabtu di Dewan 2020 sebagai antara program sisipan bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dr Dzulkefly juga berkata, langkah kerajaan mewartakan dan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) menunjukkan impak positif apabila berlaku penurunan kebolehdapatan produk tersebut di pasaran.

Iklan

Beliau berkata, sehingga Jun lalu, terdapat 2,794 varian produk merokok termasuk vape direkodkan di pasaran berbanding 6,824 varian sebelum Akta 852 dikuatkuasakan.

“Jadinya 40.9 peratus sahaja yang tinggal... kalau kita tegas, penguatkuasaan lebih keras, saya yakin kita benar-benar dapat mengawal selia penjualan rokok dan vape.

“Paling penting ialah OBD (Orang Bukan Dewasa) iaitu pelajar dan anak kita tidak terdedah kepada vape,” katanya.

Ujarnya, Akta 852 akan dilaksanakan secara tegas bagi mengawal selia produk merokok termasuk vape demi kesihatan awam. - Bernama