SHAH ALAM - Pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden melibatkan dua pelancong Malaysia yang dibakar di Ratchadamri, Bangkok pada Khamis malam.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa Thailand untuk melaksanakan penyiasatan telus dan menyeluruh, serta akan memberikan kerjasama jika diperlukan.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden ini dan memberi ruang agar proses siasatan berjalan seperti sepatutnya.
“KLN melalui semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara, terus komited untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada masa-masa sukar.
“Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat atau Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, dua pelancong Malaysia parah selepas dibakar oleh seorang penganggur di Jalan Ratchadamri di sini pada Khamis malam.
Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam Khamis apabila suspek lelaki itu secara tiba-tiba menuang cecair pencair dari arah belakang ke atas dua rakyat Malaysia iaitu seorang lelaki, Ong, 26, dan seorang wanita, Gan, 27, yang ketika itu duduk di tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah.
Menurut kenyataan tersebut, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, sedang memberikan bantuan berterusan kepada kedua-dua mangsa, yang kini menerima rawatan di hospital berasingan.
“Kedutaan telah berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawat kedua-dua mangsa serta sedang memudah cara perjalanan ahli keluarga terdekat mereka, yang dijangka akan tiba di Bangkok hari ini (Sabtu).
“Pegawai konsular daripada Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok juga telah melawat mangsa untuk memantau keadaan mereka dan memastikan bahawa kedua-dua mangsa dan keluarga mereka menerima sokongan serta bantuan yang diperlukan,” ujarnya.