Permohonan maaf perlu dibuat di saluran sama fitnah disebar - Wan Rosdy

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai permohonan maaf secara terbuka Shariffa Sabrina melalui TikTok pada Selasa. (Kanan: Wan Rosdy)

KUANTAN – Permohonan maaf yang dibuat oleh pemilik dan pengasas Tanah Aina di Pahang, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil Sabri dianggap tidak mencukupi sekiranya tidak disampaikan melalui saluran sama fitnah terhadap kerajaan Pahang disebarkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan maaf itu sepatutnya dibuat dengan penuh kesungguhan memandangkan kerosakan yang telah berlaku adalah besar.

Iklan
Iklan

“Beliau (Shariffa Sabrina) minta maaf tetapi tidak boleh sekadar permohonan maaf biasa sahaja... sepatutnya ia dilakukan secara terbuka dan ikhlas kerana kesan buruknya sudah berlaku.

“Jadi, di mana saluran-saluran yang beliau memfitnah kerajaan negeri di situ juga dia harus memohon maaf,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sri Damai dan majlis pelancaran PR1MA Pahang Pandan serta Sungai Soi di sini pada Jumaat.

Iklan

Wan Rosdy berkata demikian ketika mengulas permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Shariffa Sabrina pada Selasa menerusi satu klip video selama tujuh minit 28 saat yang dimuat naik di platform TikTok seperti dilaporkan Sinar Harian.

Dalam video itu, bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) turut merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menarik balik semua saman terhadapnya.

Iklan

Mengulas lanjut Wan Rosdy berkata, sekiranya fitnah itu disebarkan menerusi media sosial atau media arus perdana, permohonan maaf juga perlu dibuat di saluran yang sama.

“Contohnya, kalau digunakan TV9 atau TV1 untuk memfitnah kerajaan negeri, beliau kena gunakan semula saluran itu untuk memohon maaf dan perkataan ‘fitnah’ itu harus digunakan.

“Takkanlah bila beliau sudah hentam kerajaan negeri itu hari kemudian hanya memohon maaf di laman sosial sahaja. Jadi, itu tidak adil kepada kerajaan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju mengadakan rundingan dengan pengasas tersebut, namun permohonan maaf itu perlu disertai dengan pengakuan kesalahan.

“Kita bersetuju, tetapi ada beberapa perkara yang beliau perlu akui bersama kerajaan negeri sebelum permohonan maaf itu diterima.

“Ini sekali gus menunjukkan beliau mengakui telah melakukan sesuatu yang tidak betul,” katanya.

Wan Rosdy menambah, tindakan yang diambil kerajaan negeri adalah wajar dan tepat.

“Saya sudah mengatur agar penasihat undang-undang negeri mewakili saya dalam rundingan dengan beliau.

“Kita tidak pernah menolak rundingan, cuma cara pelaksanaannya perlu betul,” katanya