SEBAGAI seorang hamba yang taat kepada perintah ALLAH SWT dan rasul-NYA, kita sebagai umat Islam dituntut untuk melakukan amal kebaikan.
Sesuai dengan tujuan penciptaan kita di atas dunia ini iaitu untuk mengabdikan diri kepada ALLAH dengan menunaikan ibadah kepada-NYA.
Oleh itu setiap perbuatan yang dilakukan bertujuan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan ikhlas serta mengikut petunjuk Rasulullah SAW, semuanya dikira sebagai ibadah.
Adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam melaksanakan ibadah yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji bagi yang berkemampuan.
“Ia perlu dilaksanakan dengan cara terbaik serta ikhlas, meliputi rukun dan syaratnya, agar mendapat ganjaran besar daripada ALLAH SWT.
Khutbah bertajuk 'Lakukanlah amalan kebaikan meskipun kecil itu' disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dibacakan khatib di seluruh negeri Terengganu minggu lalu.
Menurut JHEAT, tidak boleh meremehkan amalan yang kelihatan kecil berdasarkan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu memandang rendah sedikit pun sesuatu kebaikan, walau sekadar kamu bertemu saudaramu dengan wajah penuh ceria.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ujarnya, kita dituntut untuk mempamerkan wajah yang ceria tatkala bertemu dengan saudara sesama Muslim dan juga bukan Muslim.
“Inilah satu bentuk tuntutan yang dapat mengeratkan hubungan sesama manusia serta menyerlahkan keindahan Islam dalam diri setiap Muslim,” katanya.
Sebar salam
Tambah JHEAT, umat Islam turut dituntut untuk menyebarkan salam kepada sesama Muslim.
“Amalan baik ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan, namun terdapat sesetengah orang yang tidak mengambil peluang untuk menyebarkan salam.
“Ada juga yang hanya memberi salam kepada orang Islam yang dikenalinya sahaja.
Orang yang menerima salam pula wajib menjawab salam berdasarkan ayat ke-86 surah an-Nisa’: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan suatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik daripadanya atau balaslah dia. Sesungguhnya ALLAH sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
Berjabat tangan
Seterusnya khatib menyambung, berjabat tangan juga merupakan antara amalan mulia yang sepatutnya dilakukan oleh setiap Muslim.
“Berjabat tanganlah dengan sesama orang Islam yang sama jantina dan dengan mahram sendiri ketika bertemu.
“Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tatkala bertemu dengan para sahabat, maka Baginda terlebih dahulu memberi salam dan menghulurkan tangan untuk bersalaman, kemudian Baginda mendoakan untuknya.
Begitulah mulianya akhlak Baginda SAW dalam mengamalkan perkara baik meskipun nampak ia seperti perkara yang kecil, ujarnya sambil memetik sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan kecuali ALLAH akan memberi keampunan kepada kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Oleh itu pesannya, ambillah peluang bersalaman dengan sesama Muslim selepas selesai menunaikan solat berjemaah kerana ia menyerlahkan keakraban dan keharmonian dalam kehidupan umat Islam.
Rapatkan, luruskan saf solat jemaah
Mungkin merapatkan dan meluruskan saf ketika solat berjemaah merupakan perkara remeh namun ia merupakan amalan mulia yang nampak kecil tetapi memberikan impak besar dalam kehidupan berjemaah bagi umat Islam.
“Setiap Muslim perlu mengambil perhatian dalam soal merapatkan saf dan meluruskannya seperti mana dituntut Islam.
“Meluruskan saf merupakan antara adab solat berjemaah yang perlu diberi perhatian oleh setiap jemaah,” katanya.
Ujarnya, disunatkan kepada imam untuk mengingatkan jemaahnya agar meluruskan saf sebelum solat berjemaah dimulakan.
“Perbuatan ini sebenarnya sangat penting kerana kesempurnaan saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat berjemaah,” jelasnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Luruskan saf-saf kalian kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan solat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Sebagai kesimpulan, khatib menasihatkan agar kita berusaha melakukan perkara-perkara yang baik termasuk dalam amalan ibadah meskipun ia kelihatan kecil di mata kita.
“Semua perkara tersebut adalah amal ibadah yang mampu dilaksanakan oleh setiap Muslim kerana peluang melakukannya terbuka luas setiap hari dalam kehidupan.
“Semoga dengan peringatan ini, kita akan menjadi Muslim yang sentiasa merebut peluang untuk meraih ganjaran pahala daripada amal kebaikan sama ada yang besar mahupun yang kecil,” ujarnya sebelum mengakhiri khutbah.