KOTA KINABALU - Jangan buat spekulasi sendiri untuk tujuan tular di media sosial berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir baru-baru ini, kata Datuk Fairuz Renddan.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, tindakaan cuba mendapatkan perhatian di media sosial menggunakan isu tersebut akan menambahkan tekanan kepada ahli keluarga Zara Qairina.
"Kita kena bayangkan jika kita berada di posisi keluarga arwah adik Zara, kita kena letakkan rasa kasih dan prihatin untuk ibu arwah adik Zara yang sekarang sudah amat tertekan dengan kehilangan anak tunggalnya.
"Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan jangan jadi 'penunggang isu' dengan menyebarkan maklumat tidah sahih kerana kecuaian kita boleh membawa padah andai ada tindakan undang-undang diambil," katanya selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun di sini pada Khamis.
Menerusi kunjungan tersebut, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan meminta agar siasatan kes kematian Zara Qairina dijalankan dengan adil dan telus oleh semua pihak yang bertanggungjawab.
"Hari ini saya bertemu dengan Ketua Polis Sabah bagi menyatakan solidariti dan sokongan terhadap siasatan kes kematian arwah adik Zara Qairina.
"Sebagai seorang ayah, sudah tentu saya boleh bayangkan dan boleh rasa apa yang sedang dirasai ibu kepada arwah dan semua suara orang ramai di luar sana yang mahukan siasatan kes ini terus dijalankan dengan telus.
"Kita akan terus berusaha untuk meminta agar keadilan dalam proses siasatan hingga kes ini selesai dan kita berharap agar semua pihak terus kuat dalam penyatuan solidariti secara berhemah untuk arwah Zara," katanya.
Menurut Fairuz, kejadian malang yang berlaku itu adalah sesuatu yang tidak wajar untuk didiamkan dan semua usaha menegakkan keadilan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
"Kita faham ada proses dan prosedur yang pihak berkuasa terutama polis laksanakan dan kita hormati semua itu.
"Saya ingin meminta agar semua perhatian diberikan dengan teliti untuk siasatan kes arwah adik Zara dan semoga yang bersalah dapat dibawa ke mula pengadilan, dengan hukuman setimpal," katanya lagi.
Tambah Fairuz lagi, usaha mendidik dan menyemai disiplin diri dalam kalangan anak-anak perlu dimulakan lebih awal dari rumah dan dilakukan secara serius bagi membentuk sahsiah diri mereka.
"Kita dengar pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya' dan sebagai ibu bapa, wajar untuk kita corakkan anak-anak kita dengan sahsiah dan perilaku sopan agar mereka membesar menjadi seorang manusia yang mempunyai rasa empati.
"Sahsiah dan perilaku anak sememangnya mampu dicorakkan oleh kita dari rumah dan inilah asas kepada didikan yang perlu kita pupuk dan ambil perhatian serius kerana kita mahu budaya negatif, samseng dan segala aktiviti tidak bermoral bagi kalangan anak remaja kita dapat dihentikan," ujarnya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan peguam mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail memaklumkan anak guamnya, Noraidah Lamat, 45, dalam keadaan tertekan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi liar terhadap kematian tersebut.
Pelajar Tingkatan Satu itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Kematiannya mendapat perhatian ramai terutama di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah tersebut.