KUANTAN - Kerajaan, sekolah dan pihak berkaitan digesa bertindak lebih proaktif dan tegas dalam memerangi budaya buli di sekolah susulan pemergian adik Zara Qairina Mahathir yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga meragut nyawanya.
Ketua Wanita UMNO Pahang, Norhasmimi Abdul Ghani berkata, kejadian itu menjadi peringatan keras bahawa isu buli adalah ancaman nyawa yang perlu ditangani segera.
“Kita tak boleh lagi memandang ringan isu buli, ramai pelaku buli sebenarnya menyimpan masalah dalaman yang mungkin berpunca daripada tekanan emosi, trauma, atau gangguan mental yang tidak dikesan lebih awal.
"Mereka ini perlu dipantau, diberi rawatan dan bantuan emosi sebelum keadaan jadi lebih parah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya beliau, beberapa cadangan yang boleh diambil antaranya menjadikan saringan kesihatan mental dan tingkah laku pelajar sebagai sebahagian daripada sistem sokongan sekolah.
Jelasnya, ini bagi membolehkan pihak sekolah dan asrama dapat mengesan tanda awal tekanan serta kecenderungan membuli.
"Selain itu, saluran aduan dan pemantauan pelajar berisiko diperkasa, bukan disembunyi," katanya.
Norhasmimi turut menggesa supaya amalan amar makruf nahi mungkar diterapkan dalam kalangan pelajar dengan membiasakan mereka menegur perbuatan salah dan saling melindungi.
Beliau menambah, ibu bapa diseru agar segera melaporkan sebarang kes atau perbuatan anak yang mencurigakan kepada guru serta bersedia bekerjasama dalam proses kaunseling atau intervensi.
Dalam pada itu, Norhasmini berkata, buli bukan sekadar kenakalan remaja, tetapi tanda bahaya yang boleh membawa maut jika dibiarkan.
“Tanggungjawab kita adalah untuk melindungi semua anak-anak di sekolah, bukan hanya mangsa, tetapi juga pelaku.
"Anak yang dibiarkan tanpa bimbingan dan rawatan hari ini, mungkin akan mencederakan orang lain hari esok,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kes adik Zara mesti disiasat secara terperinci dan telus bagi memastikan keadilan bukan sahaja untuk keluarganya, tetapi juga untuk semua anak-anak yang mungkin sedang melalui perkara sama dalam diam.
“Buli ini bukan soal nakal tetapi soal nyawa. Zara sudah kehilangan nyawa dan ia telah diragut, walau bukan dengan senjata tetapi dengan sikap acuh tak acuh kita sendiri,” katanya.