KEDIRI – Tekanan kewangan yang semakin memuncak mendorong ribuan wanita di wilayah Kediri, Indonesia memfailkan perceraian terhadap suami masing-masing.
Ketagihan suami terhadap perjudian dalam talian dikenal pasti sebagai antara punca utama keretakan rumah tangga.
Data dari separuh pertama tahun 2025 menunjukkan sekurang-kurangnya 1,205 isteri telah mengemukakan permohonan cerai.
Antara alasan yang dinyatakan termasuklah kecurangan, kegagalan memberi nafkah dan ketagihan judi dalam talian.
Secara keseluruhan, 1,522 kes perceraian direkodkan antara Januari hingga Jun 2025.
Daripada jumlah itu, 317 adalah cerai talak yang difailkan oleh suami, manakala 1,205 adalah permohonan cerai oleh isteri.
Jumlah ini menunjukkan peningkatan lebih 50 kes berbanding tempoh sama tahun 2024 yang mencatatkan 1,455 kes dengan 302 cerai talak dan 1,153 cerai melalui permohonan isteri.
“Majoriti besar kes difailkan oleh pihak isteri,” kata Penolong Pendaftar Undang-undang di Mahkamah Agama Kediri, Mohamad Imron baru-baru ini.
Walaupun jumlah permohonan cerai tinggi, Imron menjelaskan bahawa mahkamah tidak akan meluluskan perceraian secara serta-merta.
“Terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi, termasuk pasangan berkenaan mesti telah tinggal berasingan sekurang-kurangnya enam bulan.
“Jika tidak, permohonan akan ditolak di bawah peraturan Niet Ontvankelijke Verklaard (NO), yang bermaksud kes tidak boleh diterima.
“Permohonan boleh didaftarkan, tetapi apabila dibawa ke hadapan hakim, ia boleh ditolak jika syarat tidak dipenuhi,” ujarnya.
Namun, terdapat pengecualian. Sekiranya pasangan belum tinggal berasingan selama enam bulan, perceraian masih boleh dibenarkan sekiranya berlaku keganasan rumah tangga dengan syarat terdapat laporan polis dan bukti perubatan.
“Ada pepatah mengatakan bahawa perceraian memang sengaja dibuat sukar kecuali jika wujud alasan yang kukuh,” tambah Imron.