PETALING JAYA – Sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) dijangka mula dilaksanakan secara rintis bermula Oktober ini, khususnya di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Lebuh Raya PLUS.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem ANPR merupakan satu langkah strategik ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang lebih cekap dan efisien, bagi mengelakkan kesesakan di semua jajaran Lebuh Raya PLUS.
“Saya sendiri telah melalui lorong tol menggunakan sistem ANPR ini tanpa henti, dan terbukti ia jauh lebih pantas.
“Pengguna juga tidak perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan kerana plaza tol tidak akan ada palang lagi selepas ini,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan sistem itu di Ibu Pejabat PLUS di Persada PLUS, pada Khamis.
Menurutnya, ANPR bukan sahaja menambah baik sistem sedia ada seperti RFID, malah dibangunkan sepenuhnya oleh pihak industri lebuh raya tanpa sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Tambahnya, sistem ini turut disokong oleh platform digital bersepadu yang membolehkan pengguna mendaftar dalam talian menggunakan butiran diri, kenderaan serta kaedah pembayaran.
“Pengguna tidak perlu risau kerana tiada sebarang caj dikenakan untuk pendaftaran dan penggunaan sistem ini. Malah, ia membolehkan fleksibiliti penggunaan pelbagai mod pembayaran digital termasuk e-dompet, kad bank dan Touch 'n Go,” katanya.
Setakat ini, 13 plaza tol dan 35 lorong PLUS terlibat dalam fasa rintis sistem ANPR, dan penilaian menyeluruh dijangka dapat diselesaikan menjelang September atau Oktober.
Alexander menjelaskan, teknologi ANPR menggunakan kamera beresolusi tinggi bagi mengenal pasti nombor plat kenderaan secara automatik, yang kemudiannya dipadankan dengan imej fizikal kenderaan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Kalau nombor plat ditukar, tetapi tidak sepadan dengan model atau fizikal kenderaan, sistem akan dapat mengesan percanggahan itu. Ia sangat tepat dan mempunyai ketepatan lebih 99.98 peratus,” ujarnya.
Tegasnya, nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi atau rekaan fancy boleh menjejaskan keberkesanan sistem, dan pemilik kenderaan disaran menukar kepada nombor yang mematuhi undang-undang.
Sementara itu, platform JustGo turut diperkenalkan bagi memudahkan pengguna mengakses pembayaran tol tanpa tunai secara digital. JustGo menyokong pelbagai kaedah pembayaran seperti e-dompet, kad debit, kad kredit dan Touch 'n Go.
Tambahnya, MLFF dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan ANPR sebagai asas teknikal kepada sistem tersebut.
“MLFF bermakna pengguna tidak lagi perlu melalui lorong khas atau palang. Ia akan menjadi aliran terbuka sepenuhnya menggunakan sistem pengesanan automatik,” katanya.
Katanya, ujian gantri MLFF di Lebuh Raya PLUS juga sedang dijalankan dan ia akan membantu semua pihak bersedia ke arah pelaksanaan sistem menyeluruh itu.
Jelasnya, terdapat perbezaan antara ANPR dan MLFF, iaitu ANPR merupakan kaedah pengesanan, manakala MLFF ialah sistem kutipan tol secara menyeluruh tanpa lorong fizikal.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerja naik taraf persimpangan Juru seperti yang diumumkan Perdana Menteri akan dimulakan pada hujung tahun ini, dengan agensi pelaksana kini dalam persiapan rapi bagi memenuhi jangka masa yang ditetapkan.