WhatsApp tutup hampir tujuh juta akaun terbabit penipuan

Iklan
WhatsApp umum telah menutup hampir tujuh juta akaun WhatsApp yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Foto AFP

SAN FRANCISCO – Meta, syarikat induk kepada WhatsApp, mengumumkan pada Selasa telah menutup hampir tujuh juta akaun WhatsApp yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut laporan AFP, Pengarah Hal Ehwal Luar WhatsApp, Clair Deevy berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk membanteras skim penipuan yang semakin berleluasa di platform tersebut.

Iklan
Iklan

"Pasukan kami telah mengenal pasti akaun-akaun ini dan menyahaktifkannya sebelum sempat digunakan oleh organisasi jenayah yang menciptanya," katanya.

Menurutnya, kebanyakan penipuan ini dikendalikan oleh sindiket jenayah terancang dan melibatkan pelbagai modus operandi seperti pelaburan mata wang kripto palsu serta skim cepat kaya berbentuk piramid.

Iklan

Dalam satu catatan blog, WhatsApp memberi peringatan,"Sentiasa ada muslihat tersembunyi dalam tawaran sebegini. Ia patut menjadi isyarat amaran kepada semua, jika anda diminta membayar terlebih dahulu untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan, itu tanda bahaya."

Meta melaporkan bahawa lebih 6.8 juta akaun yang dikaitkan dengan pusat-pusat penipuan terutamanya di Asia Tenggara telah dikesan dan diharamkan oleh sistem keselamatan WhatsApp.

Iklan

Lebih membimbangkan, Meta turut mendedahkan penipuan baharu yang berpunca dari Kemboja dikesan menggunakan ChatGPT, hasil kerjasama dengan syarikat AI OpenAI.

Penipu menggunakan model kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan mesej teks yang mengandungi pautan ke sembang WhatsApp sebagai umpan kepada mangsa.

Bagi memperkukuh keselamatan pengguna, Meta kini memperkenalkan fungsi baharu dikenali sebagai 'tinjauan keselamatan'.

Ciri tersebut akan memberi amaran kepada pengguna apabila mereka dimasukkan ke dalam kumpulan sembang oleh individu yang tidak dikenali.

Ia turut menyediakan maklumat tentang kumpulan tersebut, tip mengenal pasti penipuan dan pilihan untuk keluar serta-merta.

"Kita semua pernah mengalaminya mesej daripada orang yang tidak dikenali, pelawaan menyertai kumpulan dengan janji pelaburan berisiko rendah atau wang mudah, ataupun ugutan bil tertunggak," kata Meta dalam satu kenyataan.

Meta menegaskan bahawa usaha membanteras penipuan digital akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kepercayaan pengguna terpelihara.

"Hakikatnya, ini selalunya adalah taktik penipu yang mengeksploitasi sifat baik, kepercayaan dan kebimbangan orang ramai sama ada melalui rayuan emosi, janji palsu atau tekanan untuk segera menghantar wang," katanya.