Suspek kes bunuh wanita hamil didakwa edar 65kg kanabis

Iklan
Zulhakimy Aiman didakwa mengedar dadah seberat 65 kilogram (kg) kanabis di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada Rabu.

PASIR MAS - Seorang buruh yang dikaitkan dalam siasatan kes tembakan seorang wanita hamil tiga tahun lalu didakwa mengedar dadah seberat 65 kilogram (kg) kanabis di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada Rabu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 22 Mac lalu kira-kira jam 2.50 petang dalam sebuah kereta Toyota Camry.

Zulhakimy didakwa mengedar bersama tiga lagi individu yang telah didakwa, di sebuah rumah kedai tanpa nombor di Kampung Pak Jak, Alor Pasir, Pasir Mas.

Iklan

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqy Mohd Saidi dan Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.