Sindiket dadah TUDM: MINDEF tubuh jawatankuasa khas

Iklan
Mohamed Khaled Nordin

KOTA TINGGI - Kementerian Pertahanan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti insiden penemuan dadah di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semakan itu turut bertujuan menentukan sama ada kegiatan berkenaan merupakan kes terpencil atau telah menjadi budaya dalam organisasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam prosedur keselamatan selain menyiasat kemungkinan terdapat anggota lain yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

"Mereka kini ditahan, jadi bagaimana hendak kita siasat. Selepas itu (siasatan polis), memang kita akan tubuhkan jawatankuasa kerana kita mahu meneliti sama ada ini kes terpencil ataupun sudah menjadi budaya.

Iklan

"Oleh sebab perkara ini berlaku, kita tidak menolak kemungkinan aset tentera seperti pesawat pengangkut digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti mereka.

"Saya percaya sindiket akan menggunakan apa sahaja kaedah bagi mencapai matlamat mereka," katanya pada sidang akhbar selepas Program Hari Apresiasi Kanak-kanak KEMAS Parlimen Kota Tinggi 2026 di Desaru, Bandar Penawar, di sini, pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Khaled berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit dalam kegiatan tersebut dan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.

Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja melanggar amanah serta menjejaskan integriti pasukan, malah boleh memberi kesan terhadap kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan pegawai TUDM termasuk juruterbang dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.

Beliau menyifatkan kes berkenaan sebagai amat membimbangkan dan menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat.

Pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan lima pegawai TUDM merupakan antara 11 individu yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset TUDM.

Seramai 11 individu termasuk enam orang awam diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.