BENTONG - Polis memohon orang ramai membantu mencari seorang lelaki berusia 25 tahun dari Taman Saga di sini yang dilaporkan hilang sejak 1 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, sebelum ini lelaki terbabit yang dikenali Khairul Amir Ismail pernah dilaporkan hilang pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dibuat oleh ibunya kira-kira jam 5.38 petang pada Selasa.
"Lelaki itu berkulit sawa matang, bertinggian kira-kira 165 sentimeter (cm) dan berat kira-kira 55 hingga 60 kilogram.
"Pakaian terakhir yang dipakai oleh lelaki itu berbaju T dan berseluar panjang hitam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, lokasi akhir lelaki itu di rumah di Taman Saga di sini.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat P (IPD) daerah Bentong di talian 09-2231999.
Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis di bawah pentadbiran daerah Bentong.