Nak cepat alasan lawan arus, 23 pemandu disaman JPJ

Iklan
Antara kenderaan didapati melawan arus menerusi operasi dijalankan.

CHERAS – Tidak tahu perbuatan dilakukan itu satu kesalahan dan mendakwa mahu cepat antara alasan diberikan pemandu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan memandu secara melawan arus dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Bandar Mahkota Cheras di sini pada Isnin.

Operasi selama tiga jam bermula jam 6 pagi itu dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung tindakan berbahaya segelintir pemandu yang memandu melawan arus di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 54 kenderaan diperiksa dan 25 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Antara kenderaan diambil tindakan kerana melanggar peraturan lalu lintas dalam operasi pada Isnin.

Iklan

"Sebanyak 27 notis saman P22 dikeluarkan, antaranya 23 notis atas kesalahan memandu melawan arus mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, dua notis dikeluarkan kerana lesen kenderaan motor tamat tempoh di bawah Seksyen 23(1), manakala dua lagi kerana tiada perlindungan insurans mengikut Seksyen 90(1) akta sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, operasi turut mendapati masih ada pemandu yang sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain semata-mata untuk menjimatkan masa beberapa minit.

"Ada yang memberi alasan tidak tahu perbuatan itu satu kesalahan, sedangkan ia boleh menyebabkan kemalangan.

"JPJ sama sekali tidak berkompromi terhadap mana-mana kesalahan lalu lintas dan sentiasa cakna terhadap setiap aduan orang awam,” katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan lalu lintas dipatuhi.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan kesalahan lalu lintas menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan JPJ, lengkap dengan butiran pengadu dan lokasi kejadian,” katanya.