KUANTAN – Seorang peniaga wanita kerugian RM335,400 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang memaparkan keuntungan mencecah RM4.8 juta menerusi sebuah aplikasi.
Mangsa berusia 53 tahun yang menetap di Cameron Highlands pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan dikenali sebagai Deepseek yang dilihatnya di laman sosial Facebook pada 30 April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Serena’ melalui aplikasi WhatsApp, sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan dikenali sebagai Black Horse Growth Plan.
Menurutnya, bagi menyertai skim pelaburan itu, mangsa diminta memuat turun aplikasi pelaburan yang dikenali sebagai Phgmax.
“Mangsa kemudian telah melakukan sebanyak 22 transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke tujuh akaun bank berbeza antara 2 Jun hingga 23 Julai 2025.
“Berdasarkan paparan dalam aplikasi tersebut, mangsa kononnya memperoleh keuntungan pelaburan berjumlah RM4.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Yahaya memaklumkan, bagi tujuan pengeluaran, mangsa diminta membayar komisen sebanyak 12 peratus atau RM221,670 terlebih dahulu.
“Mangsa mula mengesyaki dirinya telah ditipu apabila didesak membuat bayaran tambahan. Mangsa juga menggunakan wang simpanannya bagi tujuan pelaburan ini,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang diiklankan melalui media sosial.
Tegasnya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan agar segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.