Pas Pahang sokong titah Sultan Pahang kaji semula enakmen syariah

Iklan
Tangkap layar titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh yang bukan sekadar semakan ‘kosmetik’, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah. Gambar kecil: Rosli

KUANTAN – Pas Pahang menyokong sepenuhnya titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh.

Pesuruhjayanya, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya menyambut baik gesaan agar semakan terhadap enakmen syariah bukan sekadar semakan kosmetik, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah.

Iklan
Iklan

“Pas Pahang melahirkan rasa gembira dan bersyukur ke hadrat Ilahi atas kesungguhan Tuanku untuk mengangkat hukum ALLAH SWT sebagai hukum tertinggi yang akan memelihara rakyat, khususnya umat Islam di negeri Pahang.

“Walaupun ia masih di peringkat kajian, kami yakin dengan kesungguhan Tuanku, hasrat itu akan dapat direalisasikan suatu masa nanti,” katanya pada Rabu.

Iklan

Menurut Rosli, Pas Pahang akan terus menyokong sebarang usaha yang bertujuan meninggikan syiar Islam, termasuk pelaksanaan hukum ALLAH SWT sebagaimana yang dititahkan baginda.

“Kami berdoa agar negeri Pahang yang sama-sama kita cintai ini terus dilimpahi rahmat dan keberkatan.

Iklan

“Semoga ALLAH memberikan kekuatan kepada Tuanku untuk terus memimpin usaha menjadikan Pahang sebagai negeri yang gemilang dengan cahaya Islam. Daulat Tuanku,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan titah Al-Sultan Abdullah yang meminta enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh.

Baginda bertitah bahawa dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin mencabar dan menggugat prinsip syariah, sudah tiba masanya peruntukan undang-undang Islam di Pahang digubal secara lebih mendalam serta selari dengan lima prinsip utama maqasid syariah, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.