Apabila ‘content ’ lebih penting daripada maruah manusia

Iklan
Makin ramai yang hilang arah demi perhatian dan populariti kosong.

MERAK Jalanan sakit hati menonton video tular sekumpulan remaja memberi nasi dicampurkan tulang ayam kepada seorang lelaki gelandangan.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu memaparkan lelaki berkenaan yang kelihatan nyenyak tidur di jalanan, dikejutkan dan diberi harapan palsu dengan bungkusan makanan yang tidak selayaknya diberikan kepada manusia.

Iklan
Iklan

Dalam dunia zaman kini yang penuh keghairahan mengejar tontonan dan pengikut, jelas ada yang sanggup mengetepikan nilai kemanusiaan demi membuat kandungan yang pelik-pelik, keterlaluan dan menjijikkan.

Lebih menyakitkan hati apabila di hujung video remaja terbabit turut merakam aksi mereka memberi ayam goreng sebenar kepada seekor anjing dengan keterangan sinis menyatakan perlu belajar membuat kerja kebajikan untuk membantu orang lain.

Iklan

Mesejnya jelas, manusia jalanan itu dianggap lebih rendah martabat daripada haiwan. Bayangkan kalau yang menerima makanan itu ayah, bapa saudara atau kenalan sendiri?

Walaupun mereka kemudian tampil memohon maaf dalam satu video lain, bagi Merak Jalanan, ia tetap tidak dapat menghapus kemarahan yang ditinggalkan dalam hati rakyat Malaysia.

Iklan

Perbuatan itu bukan saja biadab, malah menunjukkan betapa nilai kemanusiaan makin nipis dibalut kerakusan mengejar likes dan views. Makin ramai yang hilang arah demi perhatian dan populariti kosong.

Tidak kira apa alasannya, walaupun mereka mengatakan merakam video itu untuk tujuan eksperimen sosial, namun video awal yang dimuat naik tanpa penerangan jelas sewajarnya mengundang kecaman netizen.

Merak Jalanan nak ingatkan, jangan jadikan penderitaan insan lain sebagai bahan kandungan. Nilai kemanusiaan jauh lebih mahal daripada ribuan likes.

Sebab itu, kita perlu fikir sebelum bertindak. Fikir sebelum tekan butang rakam dan siar.