Gasing terus ligat, warisan Melayu kekal utuh di Kampung Kujan

Iklan
Penduduk pelbagai peringkat usia bermain gasing di Kampung Kujan, Temerloh baru-baru ini.

TEMERLOH - Sorakan pemain di gelanggang gasing Kampung Kujan di sini pada setiap malam bukan lagi sesuatu yang asing.

Ia merupakan tradisi penduduk di situ yang memilih untuk memartabatkan permainan tradisional tersebut.

Iklan
Iklan

Difahamkan, usaha itu telah dilakukan secara turun-temurun melibatkan tiga generasi sejak 40 tahun lalu.

Antara penduduk Kampung Kujan yang terlibat dalam permainan gasing.

Iklan

Penyelarasnya, Abdul Ghani Abdul Malek, 60, memberitahu bahawa permainan gasing tradisional sudah menjadi sebahagian daripada identiti penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, setiap malam gelanggang yang dibina hasil inisiatif penduduk dipenuhi lebih 30 pemain.

Iklan

"Usaha berterusan ini menyebabkan Kampung Kujan popular dengan gasing, selain kerap menyertai pelbagai pertandingan dalam dan luar Pahang.

"Bukan sahaja golongan dewasa, golongan remaja turut bermain gasing bermula selepas Isyak sehingga mereka puas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Kujan baru-baru ini.

Dari kiri; Sudin, Abdul Ghani dan Mohd Al Qayyum menunjukkan gasing masing-masing.

Abdul Ghani yang juga pesara kerajaan berkata, gasing yang dimainkan dihasilkan sendiri menggunakan kayu daripada beberapa jenis pokok seperti kuran, kempas dan tualang.

Katanya, ia bertujuan memudahkan peserta yang mengambil bahagian dalam permainan tersebut.

"Saya sendiri turut membantu menghasilkan gasing yang digunakan oleh mereka.

"Hanya beberapa jam masa diambil untuk menyiapkannya, bergantung kepada kekerasan kayu dan bentuk gasing," katanya lagi.

Susulan itu, katanya, semangat warisan Melayu akan terus utuh selagi gasing masih berpusing di gelanggang Kampung Kujan.

Bekas pemain gasing negara, Sudin Sirat, 48, menyatakan rasa gembira kerana permainan tradisional itu kekal utuh di kampung tersebut.

Pernah bergelar juara kebangsaan pada 2011, beliau yang juga penduduk Kampung Kujan turut sama memainkan gasing selain membantu generasi muda mengenali dan menguasai permainan tradisional itu.

Salah seorang peserta menunjukkan kemahiran bermain gasing yang dimilikinya.

"Saya lebih puas bermain gasing tradisional kerana ia menggunakan 100 peratus kayu berbanding gasing Malaysia yang menggunakan bahan tambahan lain seperti timah," ujar Sudin yang mula bermain gasing sejak berusia lapan tahun.

Sementara itu, generasi muda seperti Mohd Al Qayyum Zakuan, 15, mula tertarik dengan permainan tradisional itu pada tahun ini selepas melihat ayah dan datuknya aktif bermain gasing.

"Rasa seronok pula bila sudah main gasing. Kini, bila ada masa lapang pada sebelah malam saya akan datang ke gelanggang untuk bermain bersama penduduk lain," katanya.

Untuk rekod, pasukan gasing kampung itu baru sahaja muncul sebagai juara Tertutup Pahang pada Mei lalu.

Selain itu, mereka juga aktif menganjurkan pertandingan di Kampung Kujan sendiri.