IPOH – Paras air Empangan Bukit Merah yang sebelum ini merosot akibat musim kemarau kini menunjukkan peningkatan susulan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada Isnin.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, operasi tersebut berjaya membantu meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan berkenaan yang terletak di Bagan Serai.
Menurutnya, sebelum ini empangan tersebut telah mencapai paras henti bekalan pengairan dengan bacaan di bawah 6.09 meter sejak 22 Julai lalu berikutan kekurangan hujan yang berpanjangan di kawasan tadahan.
“Susulan pelaksanaan OPA yang diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan, beberapa kawasan tadahan telah menerima taburan hujan antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
“Kesan daripada hujan itu mula kelihatan apabila kadar aliran masuk ke empangan di Stesen Pondok Tanjung menunjukkan peningkatan bermula jam 3 petang pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohammad Nizar berkata, setakat jam 8 pagi Selasa, paras air empangan meningkat daripada 6.03 meter kepada 6.09 meter manakala kapasiti simpanan turut naik daripada 6.65 juta meter padu (12.2%) kepada 7.25 juta meter padu (13.31%).
Bagaimanapun katanya, status semasa empangan masih berada pada tahap Aras Henti Bekalan Pengairan seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Peningkatan ini sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik.
"Namun bekalan air untuk tujuan pengairan di Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula,” jelasnya.
Mohammad Nizar turut memberi jaminan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak akan terus memantau perkembangan paras air empangan dari masa ke masa serta bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air sentiasa berada pada tahap selamat.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai OPA di kawasan Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak yang berada pada tahap kritikal.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menjelaskan, usaha OPA itu bukan sahaja bersifat reaktif tetapi satu pelaburan jangka panjang dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan cuaca ekstrem.