BESUT – Rutin harian seorang bapa berubah apabila disahkan menghidap masalah cakera tulang belakang tergelincir atau slip disc sejak empat tahun lalu hingga tidak lagi mampu bekerja sebagai pemandu lori tanah.
Lebih menghibakan, isterinya turut menghidap masalah injap jantung bocor dan memerlukan rawatan berkala, sekali gus memaksa Mohd Salmimi Mat Jusoh, 39, menyara keluarga dengan menjual bebola inti kaya dan coklat di pasar malam menggunakan motosikal roda tiga.
Anaknya, Muhammad Shahir, 14, pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, menjadi penerima program Sponsor A Student (SAS) daripada Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA) bagi meringankan bebanan yang dihadapi.
Menurut Mohd Salmimi, bantuan pendidikan berjumlah RM200 kepada anak sulung daripada dua beradik itu amat bermakna kerana diterima pada waktu keluarganya sedang bergelut antara kesihatan dan kelangsungan hidup.
“Mula-mula dulu saya sangat tertekan sebab langsung tak boleh bergerak akibat slip disc dan melakukan fisioterapi. Namun sekarang, saya masih tak boleh berdiri lama selain terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
“Isteri pula disahkan injap jantung bocor sejak 14 tahun lepas dan berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah, Kelantan” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyerahan SAS kali ke-17 2025/26 dan Sumbangan Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di SMK Tengku Mahmud, di sini pada Isnin.
Turut hadir merasmikan majlis, Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Penasihat Bersama Karangkraf.
Kata Mohd Salmimi, sebelum ini keluarganya bergantung kepada simpanan semasa beliau masih bekerja memandu lori, namun kini hanya perniagaan kecil di pasar malam sekitar Besut menjadi sumber utama.
“Keadaan perniagaan sekarang pun perlahan, untung cukup-cukup makan saja.
“Duit simpanan dulu saya beli rumah usang dan baiki sikit-sikit, tapi anak sulung dapat bantuan di sekolah RM800 setahun dan kali ini dapat SAS pula, sangat membantu,” ujarnya.
Tambahnya, anak keduanya pula berusia 11 tahun dan masih bersekolah rendah. Beliau bertekad memastikan kedua-duanya mendapat pendidikan yang baik walaupun terpaksa berkorban banyak perkara.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Nur Syifaa Insyirah Hafizi, 16, pelajar Tingkatan Empat di SMK Putra berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membeli keperluan sekolah seperti alat tulis.
Anak yatim dari Kampung Darau itu tinggal bersama ibunya, Rosita Ibrahim, 44, yang menjalankan perniagaan membuat kek dari rumah selepas kehilangan suami akibat serangan jantung pada 2022.
“Bantuan ini sangat meringankan beban ibu kerana bersendirian menanggung semua perbelanjaan sekolah kami empat beradik.
“Saya berjanji belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita sebagai guru dan membalas jasa ibu,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 70 pelajar dari 13 sekolah menengah sekitar Besut terpilih menerima bantuan hasil sumbangan alumni berkenaan.