Sumbangan alumni model sokongan pendidikan terbaik – PPD Besut

Iklan
Mohd Aliziyad (duduk, dua dari kanan) menerima kunjungan Muhammad Nasir (duduk, dua dari kiri) di Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Terengganu.

Misalnya TMESA yang terbukti aktif, tersusun dan sistematik menyumbang secara berkumpulan

BESUT – Penglibatan aktif alumni di sekolah diiktiraf sebagai antara pendekatan sokongan pendidikan paling berkesan, khususnya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Besut, Mohd Aliziyad Abas berkata, kerjasama antara alumni dan pihak sekolah amat disokong oleh Kementerian Pendidikan, malah wajar dijadikan model untuk diperluaskan ke seluruh negara.

Iklan
Iklan

Mohd Aliziyad. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Alumni kembali ke sekolah bagi membantu apa-apa keperluan, bukan hanya kewangan, tetapi juga sokongan moral dan pengalaman.

Iklan

“Kami sangat galakkan kerjasama alumni demi kepentingan pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Program Sponsor A Student (SAS) ke-17 sesi 2025/2026 dan Sumbangan Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud di sini pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, pihaknya turut menerima kunjungan mesra TMESA ke Pejabat Pendidikan Daerah Besut yang diketuai Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Penasihat Bersama Karangkraf.

Mengulas situasi sokongan alumni di daerah ini, Mohd Aliziyad berkata, terdapat perbezaan antara penyertaan alumni sekolah premier dan sekolah harian biasa dari segi keaktifan serta sistem penyampaian bantuan.

“Sekolah-sekolah premier seperti Sekolah Tengku Mahmud dan Sekolah Imtiaz biasanya mempunyai alumni yang aktif, tersusun dan menyumbang secara berkumpulan.

“Bagi sekolah biasa pula, memang ada sumbangan juga tetapi kebanyakannya digerakkan mengikut kumpulan tahun, bukan sebagai satu badan gabungan rasmi,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan TMESA yang berjaya menyatukan pelbagai generasi bekas pelajar dalam satu platform berstruktur mampu menjadi pemangkin inspirasi kepada alumni-alumni sekolah lain di seluruh negara.

“TMESA juga akan dimasukkan secara rasmi ke dalam Kor Permuafakatan Pendidikan Daerah Besut sebagai rakan strategik pendidikan.

“Saya percaya pendekatan ini mampu dikembangkan lagi sebagai rujukan terbaik di peringkat daerah mahupun nasional,” katanya.