Tuah beli baju untuk isteri, pemandu lori bawa pulang ganjaran Vellfire

Iklan
​Mohd Supiyan bersama isteri dan anak selepas diumumkan memenangi sebuah Toyota Vellfire sempena program Himpunan Wira Day 7.0 di Stadium Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

​KUALA NERUS - Hasrat seorang pemandu lori meluangkan masa bersama rakan-rakan di Pantai Timur menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan apabila memenangi sebuah Toyota Vellfire menerusi cabutan bertuah program Himpunan Wira Day 7.0 di Stadium Permotoran Gong Badak di sini pada Sabtu.

​Mohd Supiyan Mazlan, 37, dari Bandar Tenggara, Johor, berkata, detik penuh makna itu bermula selepas dia membuat pembelian enam helai baju berharga RM540 yang melayakkan menerima enam keping kupon cabutan bertuah.

Iklan
Iklan

​"Memang saya tidak sangka boleh menang, bila nombor diumumkan, isteri yang pegang kupon dan tengok nombor itu sama.

​Bapa kepada dua anak lelaki berusia dua dan lima tahun itu berkata, dia amat bersyukur kerana dia dapat merealisasikan impian isterinya yang telah lama berhasrat untuk memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz besar bagi keselesaan keluarga.

Iklan

​Jelasnya, kenderaan baharu itu bakal memudahkan pergerakan mereka sekeluarga, terutama apabila mahu membawa ibu bapa bersiar-siar.

​"Isteri memang teringin ada kereta besar, jadi memandangkan anak-anak makin membesar, kereta sedia ada agak kurang selesa. Kereta baharu ni boleh bawa mak dan ayah juga berjalan bersama nanti.

Iklan

​"Saya memang akan guna kenderaan ini untuk keluarga dan tidak bercadang menjualnya selepas selesai urusan pendaftaran serta pertukaran hak milik," katanya yang sudah lapan tahun memiliki Proton Wira.

​Mengulas perjalanan ke program berkenaan, Mohd Supiyan mengakui sanggup memandu lebih 10 jam dari Johor ke Terengganu dan berhenti beberapa kali bagi memastikan prestasi kenderaan lamanya kekal baik.

​Sementara itu, penganjur Wira Day 7.0, Ahmad Zukhairi Ariffin berkata, penganjuran edisi ketujuh itu mencatatkan peningkatan luar biasa apabila merekodkan kira-kira 17,000 peserta berbanding 15,000 orang pada tahun lalu.

​"Program kali ini bukan sahaja disertai pemilik Proton Wira, malah menarik minat ramai peserta baharu termasuk kalangan bukan pemilik model berkenaan.

​"Peningkatan ini membuktikan Wira Day semakin berkembang dan berjaya menyatukan komuniti automotif yang lebih luas," katanya.