DUNGUN – Selepas hampir sedekad tidak kelihatan, sang 'gergasi samudera' atau penyu belimbing sekali lagi mencuri tumpuan apabila dikesan mendarat dan bertelur di Pantai Rantau Abang, di sini pada awal pagi Ahad.
Kemunculan semula 'Raja Penyu' berkenaan direkodkan melalui 81 biji telur yang ditinggalkan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyu tersebut merupakan reptilia marin sama yang dikesan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang, kira-kira dua minggu lalu.
"Sebanyak 81 biji telur berjaya diambil pada jam 4.45 pagi sebelum ditanam semula di kawasan penetasan yang ditetapkan pada jam 6 pagi.
"Saiz telur yang direkodkan adalah kira-kira lima sentimeter dan kesemuanya telah diserahkan untuk ditempatkan di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu Rantau Abang bagi proses penetasan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kesemua telur berkenaan dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari, bergantung kepada keadaan serta proses pengeraman.
Jelasnya lagi, telur-telur tersebut dikumpul oleh pemajak sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk dipindahkan ke lokasi penetasan yang lebih terjamin keselamatannya.
Tanbah Pang Nyukang, pendaratan terbaharu itu dilihat sebagai perkembangan amat positif susulan penemuan 44 biji telur daripada spesies sama di Pantai Marang pada 1 September lalu.
"Kemunculannya semula di pesisiran pantai Terengganu selepas tempoh yang lama memberi makna yang sangat mendalam terhadap usaha pemuliharaan spesies threatened ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu kerjasama orang ramai agar mengutamakan kebersihan pantai dan mengelakkan sebarang gangguan terhadap penyu yang naik bertelur, khususnya meminimumkan penggunaan cahaya serta gangguan bunyi bising.
"Sekiranya ternampak penyu belimbing naik bertelur, elakkan daripada menghampiri atau mengganggunya. Sebaliknya, segeralah melaporkan penemuan berkenaan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa di bawah Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 2021), sebarang aktiviti pemilikan, penjualan, mahupun perbuatan mengganggu mana-mana spesies penyu dan telurnya adalah dilarang sama sekali.
"Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda antara RM50,000 sehingga RM250,000, atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Tindakan tegas turut terpakai ke atas mereka yang memiliki atau menjalankan urus niaga jual beli telur haiwan marin berkenaan.
"Selain itu, kesalahan mengganggu, menyentuh, atau memburu penyu secara fizikal di perairan juga boleh didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985,"ujarnya.
Dua siri penemuan telur penyu belimbing dalam tempoh kurang dua minggu ini menghidupkan semula harapan baharu terhadap pemuliharaan spesies itu di Terengganu, sekali gus mengembalikan nostalgia Rantau Abang yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai lokasi utama pendaratannya.