Samseng jalanan dikepung sebelum sempat beraksi

Iklan
Kesemua individu terbabit dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik IPD Pontian untuk tindakan lanjut. - Foto IPD Pontian

PONTIAN - Hasrat sekumpulan samseng jalanan untuk melakukan aksi berbahaya di lokasi tumpuan sekitar Jalan Tanjung Piai tidak kesampaian apabila kesemua mereka dikepung dalam Operasi Bersepadu Cegah Samseng Jalanan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, operasi bermula pada petang Sabtu itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, anggota Balai Polis Permas serta enam anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR).

Iklan
Iklan

"Ketua operasi bertindak menutup laluan utama dan beberapa jalan alternatif, sekali gus memerangkap kumpulan samseng jalanan sebelum sempat mereka memulakan aksi berbahaya.

“Hasil operasi, seramai 86 individu berusia 13 hingga 20 tahun diperiksa dengan 63 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tiada lesen memandu dan pengubahsuaian motosikal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mohammad Shofee berkata, sebanyak 24 buah motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati melakukan kesalahan seperti tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pengubahsuaian struktur yang melampau.

"Kesemua individu terbabit dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut selepas saringan awal dilakukan di lokasi.

Iklan

“PDRM ingin mengingatkan orang awam bahawa pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan, terutamanya sistem ekzos yang mengeluarkan bunyi bising, adalah satu kesalahan yang boleh membawa kepada penyitaan.

"Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak dan tidak membiarkan mereka terjebak dalam kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menggugat ketenteraman awam," katanya.