BUTTERWORTH- Lima warga Iran termasuk suami isteri yang direman bagi membantu siasatan kes pukau di kawasan bandar George Town dipercayai ahli sindiket yang mempunyai kemahiran dalam mencuri wang.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.
"Berdasarkan modus operandi, mereka itu dipercayai bergerak secara berkumpulan dan mempunyai kemahiran mencuri wang.
"Semakan pergerakan keluar masuk dan ketulenan pasport mereka masih dalam proses semakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Stor Barang Kes Berpusat Kontinjen Seberang Perai Utara di sini pada Isnin.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada mereka juga terlibat dalam kes di kontinjen lain.
"Semakan pergerakan keluar masuk dan ketulenan pasport kesemua mereka masih dalam proses semakan.
"Mereka dipercayai datang ke sini menggunakan sebuah kereta dari Kuala Lumpur. Mereka tiba di Pulau Pinang pada 27 Julai lalu serta menginap di sebuah inap desa di Batu Feringghi," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kesemua warga asing itu direman empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes pukau yang menyasarkan pelancong asing di kawasan tumpuan di bandar raya George Town.
Difahamkan, kesemua suspek terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia 19 hingga 34 tahun terbabit ditahan di sekitar Persiaran Gurney serta Pulau Tikus, antara jam 8 hingga 9 malam.
Pihak polis turut merampas dua kenderaan yang digunakan suspek serta menemukan sejumlah mata wang asing pelbagai negara yang dipercayai diperoleh mereka hasil kegiatan pukau.
Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.