MUMBAI – Seorang lelaki hilang keseimbangan dan terjatuh dari kereta api yang sedang bergerak apabila telefon bimbitnya diragut oleh seorang pencuri di daerah Thane, berhampiran Mumbai pada Ahad.
Penumpang tersebut ketika itu sedang duduk di pintu kereta api dalam perjalanan dari Stesen Shahad ke Ambivali di Laluan Kereta Api Tengah.
Menurutnya, dia cuba berpaut pada pintu kereta api namun akhirnya terjatuh dan kakinya digilis kereta api.
"Seseorang menarik tangan saya dan meragut telefon, lalu saya terjatuh.
"Saya berpaut pada pintu. Kemudian saya terjatuh di sini," kata lelaki yang dikenali sebagai Gaurav Nikam.
Visual menunjukkan kecederaan parah pada kedua-dua belah kakinya, dengan satu kaki hancur sepenuhnya.
Lelaki itu kini sedang menjalani rawatan di hospital.
Unit Kalyan Polis Kereta Api Kerajaan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kes tersebut dan memburu pencuri berkenaan.
Sementara itu, seorang pegawai polis berkata, kebanyakan pelaku jenayah ini merupakan penagih dadah dan anggota kumpulan terancang.
"Kes kecurian telefon bimbit menjadi antara jenayah yang paling kerap dilaporkan di landasan kereta api. Beberapa kumpulan samseng antara negeri juga terlibat dalam mencuri telefon daripada penumpang," katanya.