KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan mendapati sebanyak 90 peratus kes tidak memakai tali pinggang keledar di dalam bas ekspres membabitkan penumpang remaja.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, lapan peratus lagi kes dikesan membabitkan pemandu bas manakala satu peratus ialah pelancong dari luar negara.
Beliau memberitahu, golongan remaja didapati kurang peka dan tiada kesedaran terhadap keselamatan diri ketika berada di dalam bas ekspres atau persiaran.
"JPJ melaksanakan penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya selaras dengan arahan pada 30 Jun lalu," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Menurut Misuari, sehingga kini sebanyak 838 bas ekspres diperiksa dan 116 diambil tindakan kerana beberapa kesalahan.
"Kita dapati empat pemandu bas tidak memakai tali pinggang keledar manakala penumpang pula seramai 236 orang. Empat buah bas juga belum dipasang tali pinggang keledar," katanya.
Tambah beliau lagi, sebuah daripada 151 bas persiaran diambil tindakan apabila pemandunya tidak memakai tali pinggang keledar.
Katanya, bagi meningkatkan lagi kesedaran pentingnya pemakaian tali pinggang, JPJ Kelantan mengarahkan petugas kaunter dan pemandu bas membuat pengumuman pemakaian tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.
Jelas beliau, kaedah itu dilihat berkesan untuk memberi peringatan kepada penumpang sekali gus dapat mengelakkan tindakan saman.
"JPJ turut mengingatkan semua pemandu dan penumpang supaya sentiasa mematuhi peraturan serta memastikan sistem tali pinggang keledar berfungsi dengan baik.
"Pelaksanaan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa yang menjadi langkah penting ke arah memastikan semua kenderaan mematuhi ciri-ciri keselamatan, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan nyawa," katanya.