SIBU - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari sayur hutan berhampiran Terminal Bas Baru Miri, di sini, Sabtu lalu, ditemukan meninggal dunia petang Ahad.
Mangsa, Upil Lutan, 44, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 3.34 petang dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Miri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang susulan penemuan mayat mangsa.
Katanya, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada jam 2 petang, Sabtu, selepas mangsa dilaporkan tidak pulang selepas keluar mencari sayur hutan di kawasan terbabit.
"Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan dan operasi SAR dimulakan pada jam 9.20 pagi keesokan harinya.
"Pencarian melibatkan empat kumpulan yang melakukan pencarian dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, namun gagal menemukan mangsa pada hari pertama dan operasi disambung hari ini,” katanya. - Bernama