KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai kosmetik di Kampung Kor di sini, tidak menyangka pekerjanya sanggup mencuri pelbagai jenis kosmetik yang dijual sebelum membuat penghantaran tunai (COD) kepada ‘pelanggan’.
Mardhiah Dzulkarnain, 34, berkata, lebih mengejutkan apabila pekerja wanita berusia 24 tahun itu mengaku memperoleh keuntungan melebihi lima angka sejak kira-kira setahun lalu hasil perbuatan tersebut dan mengambil wang yang dibayar pelanggan.
“Saya memang mengesyaki dia melakukan perbuatan itu selepas dua minggu bekerja kerana banyak barang jualan hilang, namun saya masih bersikap positif kerana tidak mahu menuduh sesiapa,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Kongsi Mardhiah lagi, suaminya, Ahmad Ibnu Muslim, 37, pernah melihat beg sandang pekerja itu penuh dengan kosmetik yang sama seperti dijual di kedainya, tetapi menganggap wanita berkenaan membelinya di tempat lain.
“Pada masa sama, kami mula mengumpul bukti kerana beberapa kali melihat begnya kosong ketika datang bekerja tetapi kelihatan sarat apabila pulang.
“Dia sangat berani melakukan perbuatan itu walaupun kami memasang 16 kamera litar tertutup (CCTV) di kedai,” katanya.
Jelas Mardhiah, pada Rabu lalu kira-kira jam 10 malam, beliau memantau CCTV dan mendapati pekerja tersebut berada dalam keadaan gelisah serta mencurigakan selain kerap memandang ke luar tingkap.
Tambah Mardhiah, wanita itu turut menutup lampu bagi mengaburi pandangan sebelum mengambil beberapa barangan yang telah disorok di beberapa sudut kedai.
“Keesokan harinya, saya bertemu dengannya disaksikan beberapa anggota polis dan dia mengaku menjual kosmetik yang dicuri dari kedai,” katanya.
Bagaimanapun, Mardhiah berkata, beliau tidak sampai hati membuat laporan polis memandangkan pekerjanya itu mempunyai seorang anak autisme yang memerlukan perhatian.
Mardhiah mengakui kecewa dengan sikap ‘panjang tangan’ pekerja tersebut kerana sudah menerima gaji harian antara RM60 hingga RM75 sehari, selain bonus setiap lima hingga enam bulan berdasarkan keuntungan.
“Dia seorang yang cekap dan mampu melakukan kerja yang diminta. Kami juga memberi hadiah sebagai penghargaan dua kali setahun termasuk barang kemas. Sejak bekerja, dia pernah menerima cincin dan gelang emas,” katanya.
Menurutnya, beliau kini masih trauma untuk mengambil pekerja baharu namun sangat memerlukan bantuan kerana sentiasa menerima tempahan pelanggan.
“Saya berharap akan bertemu individu yang ikhlas untuk bekerja selepas beberapa orang datang menawarkan diri bagi menggantikan tempat pekerja itu,” katanya.
Mardhiah sebelum ini turut berkongsi kekecewaannya di media sosial mengenai insiden tersebut dan memuat naik video perbincangan bersama suami serta pekerja berkenaan sebagai satu bentuk kesedaran kepada orang ramai mengenai risiko kecurian oleh pekerja sendiri.