KLANG -"Ya ALLAH, ada budak jatuh," itu antara jeritan beberapa penduduk ketika melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun tertiarap di bahagian parkir selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang, di sini pada Jumaat.
Seorang individu yang enggan dikenali, berusia lingkungan 40-an, berkata, ketika kejadian beliau sedang berada di dapur.
“Saya mendengar bunyi kuat seperti sesuatu terjatuh, mulanya saya sangka ada penduduk buang sampah.
“Tiba-tiba kedengaran jeritan mengatakan ada budak jatuh. Saya bergegas turun dan mendapati mangsa dengan kesan darah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Katanya, ketika itu penduduk flat berkenaan sudah berkumpul untuk melihat kejadian.
Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 12 tahun pula mendakwa mangsa merupakan adik angkatnya serta menjadi anak asuhan ibunya sejak bayi lagi.
Kanak-kanak yang ditemui dalam keadaan bersedih itu berkata, mangsa amat rapat dengan keluarganya dan dia tidak menyangka kejadian itu menimpa adik angkatnya.
“Kalau diikutkan malam ini, ayah saya merancang membawanya bersama bermain badminton. Kami sekeluarga juga merancang untuk mengadakan sambutan hari jadinya pada Oktober ini.
“Dalam seminggu ini, dia amat manja dan sering memeluk ibu saya,” katanya yang memanggil mangsa dengan panggilan ‘adik’.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamal Ariffin Aman Shah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial mendakwa kejadian melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah flat di Pelabuhan Klang.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7.45 pagi ketika mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di ruangan parkir flat terbabit.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum disahkan meninggal dunia.