RMK13: Projek Solar Terapung Hidro Hibrid bukti Terengganu tidak dipinggirkan - Gempur

Iklan
Projek HHFS di Tasik Kenyir akan menjadi penanda aras nasional dalam inovasi tenaga hibrid. Gambar kecil: Syaiful Irfan

SHAH ALAM- Pelaksanaan Projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Tasik Kenyir yang dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukti Terengganu tidak dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara.

Presiden Gerakan Ekonomi Melayu Prihatin Rakyat Terengganu (Gempur), Syaiful Irfan Anang berkata, projek itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang inklusif, progresif dan berasaskan keadilan wilayah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan kelestarian, kesejahteraan rakyat serta pembangunan berimbang antara negeri.

"Kami percaya Projek HHFS di Tasik Kenyir akan menjadi penanda aras nasional dalam inovasi tenaga hibrid yang menggabungkan teknologi solar dan hidro secara efisien serta mesra alam.

Iklan

"Oleh itu, Gempur mewakili suara rakyat Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Madani atas iltizam membawa projek tenaga hijau berskala besar ini ke negeri kami.

"Inisiatif ini selari dengan aspirasi 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 yang digariskan dalam National Energy Transition Roadmap (NETR)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah kenyataan itu, projek berkenaan dijangka membawa manfaat sosio-ekonomi yang signifikan kepada rakyat Terengganu, khususnya penduduk sekitar Hulu Terengganu.

Jelasnya, HHFS bakal mewujudkan ratusan peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung selain membuka ruang kepada penglibatan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan industri tenaga bersih.

"Selaras dengan gesaan Perdana Menteri, projek ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan peningkatan kemahiran (upskilling) khusus untuk golongan belia dalam bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui.

"Di samping itu, Tasik Kenyir berpotensi dijadikan pusat interpretasi tenaga hijau, sekali gus memberi lonjakan kepada sektor ekopelancongan dan menambah pendapatan komuniti setempat," ujarnya.