Kerajaan rancang pelan induk industri penternakan babi

Iklan
Kadar sara diri (SSL) daging babi negara ketika ini berada pada paras 65 peratus. Gambar kecil: Chan Foong Hin

BATU KAWAN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang dalam perancangan untuk membangunkan pelan induk industri penternakan babi sebagai garis panduan menyeluruh kepada pemain industri di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pelan tersebut termasuk usaha memperluaskan penggunaan kemudahan biogas sebagai kaedah pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan mesra alam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan menghargai langkah Pulau Pinang yang menjadi peneraju dalam menunjukkan kaedah pengurusan sisa penternakan yang lebih sistematik.

“Isu utama dalam penternakan babi adalah isu alam sekitar. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menimbulkan masalah sosial dan dalam keadaan lebih buruk, mencetuskan isu perkauman serta wilayah.

Iklan

“Justeru, penting untuk penternak dan pemain industri di negeri lain mengambil contoh daripada pengalaman Pulau Pinang dalam menguruskan sisa secara bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Kemudahan Biogas Berpusat Kampung Valdor di sini pada Sabtu.

Majlis itu dilancarkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan turut dihadiri beberapa barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang.

Iklan

Projek Kemudahan Biogas Berpusat Kampung Valdor adalah inisiatif sisa-ke-tenaga berimpak tinggi yang menukar sisa ternakan kepada tenaga elektrik boleh baharu.

Ia sekali gus menjadi model penyelesaian mampan bagi menangani pencemaran alam sekitar di Pulau Pinang.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan larangan operasi ladang babi di Selangor, Foong Hin berkata, kadar sara diri (SSL) daging babi negara ketika ini berada pada paras 65 peratus.

Katanya, sekiranya larangan menyeluruh dilaksanakan di Selangor, kesannya terhadap kadar SSL negara dijangka tidak terlalu serius dalam tempoh terdekat kerana bekalan boleh ditampung melalui import.

“Bagaimanapun, dalam jangka panjang, kita perlu memastikan komuniti bukan Islam di Malaysia terus dapat menikmati hak mengamalkan budaya mereka termasuk mendapatkan sumber protein utama.

“Sebab itu, saya percaya industri ini masih perlu diurus dengan baik dan lebih mampan,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu kerana dikhuatiri menimbulkan pencemaran alam sekitar dan keresahan masyarakat.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa penternakan babi berisiko menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sungai susulan pelepasan najis dan sisa kumbahan sekali gus menjejaskan sumber air bersih.

Susulan daripada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor akan mengimport sepenuhnya bekalan daging babi bagi memenuhi keperluan tempatan susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tidak lagi meneruskan aktiviti penternakan di negeri ini.

Beliau berkata, keputusan itu bagi menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Sharafuddin yang tidak memperkenankan aktiviti itu dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.