MPKS nafi abaikan nasib peniaga Pasar Awam Sungai Buloh

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung peniaga di Pasar Awam Sungai Buloh, Jeram resah apabila jualan semakin merosot hingga memaksa sebahagian besar daripada mereka menutup perniagaan.

KUALA SELANGOR – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengabaikan nasib peniaga Pasar Awam Sungai Buloh, Jeram di sini, yang mendakwa semakin terhimpit hingga terpaksa menutup perniagaan.

MPKS dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi membantu peniaga kekal berdaya saing dalam era digital demi memastikan pasar tersebut terus aktif dan menarik pengunjung.

Iklan
Iklan

“Sebagai langkah proaktif, MPKS menggalakkan peniaga memasarkan produk secara dalam talian melalui platform PLATS Selangor yang disediakan oleh kerajaan negeri.

“Ini bagi membantu meluaskan capaian pelanggan dan meningkatkan jualan peniaga kecil tanpa batasan lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

MPKS turut menegaskan bahawa aspek kebersihan dan penguatkuasaan sentiasa diberi perhatian, termasuk melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Kebersihan Pasar Awam yang dijalankan pada 19 Jun lalu.

“Operasi ini membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), dan jabatan dalaman MPKS.

Iklan

“Ia bertujuan memastikan pematuhan piawaian kebersihan, penyembelihan ayam yang sah serta lesen operasi perniagaan,” tambah kenyataan itu.

Mengenai isu penyewaan petak pasar, MPKS menjelaskan bahawa terdapat 78 petak ditawarkan merangkumi kategori sayur, ikan, ayam, daging dan runcit.

“Sehingga Jun 2025, terdapat 32 petak yang masih kosong dan proses pengisian sedang giat dijalankan menerusi iklan berkala setiap dua bulan.

“Kadar sewaan juga rendah dan berpatutan iaitu antara RM80 hingga RM150 sebulan bergantung kepada kategori,” jelas kenyataan itu lagi.

Selain itu, MPKS turut memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf kemudahan pasar telah dilaksanakan pada 2023 dan siap sepenuhnya pada Mac 2024.

“Usaha ini dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan peniaga serta pengunjung, selain menunjukkan komitmen MPKS dalam memastikan kemudahan awam berada pada tahap terbaik.

“Pelbagai usaha bersepadu terus dilaksanakan bagi memastikan Pasar Awam Sungai Buloh kekal sebagai lokasi perniagaan yang aktif, bersih dan menarik kepada pengunjung,” menurut kenyataan itu.

Sinar Harian pada 18 Julai lalu melaporkan bahawa peniaga di Pasar Awam Sungai Buloh, Jeram, berasa resah apabila jualan semakin merosot hingga memaksa sebahagian besar daripada mereka menutup perniagaan akibat tidak mampu menampung kos operasi harian.