SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengosongkan 66 tapak nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada projek pembesaran dan pembinaan jalan bertingkat yang menjadi sebahagian daripada pembangunan strategik di Kwasa Damansara.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, projek infrastruktur itu penting bagi melancarkan aliran trafik, meningkatkan kesalinghubungan kawasan dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan berperingkat di koridor Sungai Buloh-Damansara.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu sebelum ini tertangguh agak lama susulan isu pendudukan tapak yang belum diselesaikan secara menyeluruh.
"Kerajaan negeri mengambil pendekatan mesra rakyat dengan mempertimbangkan bayaran ex-gratia secara sekali beri kepada pengusaha nurseri terbabit bagi memudah cara proses pengosongan tapak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Izham berkata, kawasan terlibat diduduki tanpa dokumen pemilikan atau kelulusan rasmi, justeru bayaran ex-gratia itu bersifat saguhati bagi membantu peralihan dan bukan pengiktirafan hak milik atau pendudukan kekal.
Katanya, kerajaan negeri mempertimbangkan kadar RM10,000 bagi setiap tapak membabitkan 66 plot nurseri yang terjejas secara langsung dengan projek pembesaran jalan itu.
"Pelaksanaan pembayaran akan diselaraskan oleh agensi pelaksana yang dilantik. Selepas bayaran dibuat dan tempoh ditetapkan tamat, proses pengosongan tapak serta tindakan susulan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," jelas beliau.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan projek pembesaran jalan dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan lanjut.
Izham turut menegaskan tiada komitmen tambahan melibatkan tapak gantian atau pampasan lain di luar bayaran ex-gratia yang dipertimbangkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal berusaha menyelesaikan isu berlarutan secara bertanggungjawab dan prihatin, memastikan projek infrastruktur awam tertangguh dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat serta memelihara tadbir urus yang baik selaras kerangka undang-undang dan pentadbiran tanah.
"Kerajaan negeri berharap semua pihak dapat memahami keputusan ini dibuat selepas mengambil kira kepentingan awam dan keperluan menyegerakan projek infrastruktur negeri yang telah berpanjangan," tambah beliau.
CAPTION
Izham