Warga Filipina kantoi guna pasport palsu

Iklan
Suspek ditahan kerana disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa mengenai tempoh sebenar keberadaannya di Malaysia. Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Helah seorang lelaki warga Filipina untuk meninggalkan Sabah menggunakan pasport palsu gagal selepas dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada Khamis.

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas pemeriksaan terhadap pasport miliknya mendapati terdapat unsur mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan AKPS, pemeriksaan ke atas pasport lelaki terbabit menemui endosmen Pas Lawatan Sosial bagi kemasukan bertarikh 28 Julai dan endosmen keluar bertarikh 30 Julai.

“Kedua-dua endosmen berkenaan didapati palsu kerana tidak direkodkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia.

Iklan

“Suspek seterusnya ditahan kerana disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa mengenai tempoh sebenar keberadaannya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan dua pas masuk penerbangan atas nama suspek, iaitu satu ke Kuala Lumpur pada 30 Julai dan satu lagi ke Manila, Filipina pada 31 Julai.

Iklan

Pemilikan dua pas masuk tersebut sedang disiasat bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan oleh lelaki terbabit.

“Susulan itu, suspek telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki atau menggunakan pas palsu tanpa kuasa sah,” katanya.

Menurutnya lagi, AKPS menegaskan komitmen mereka untuk memperketatkan kawalan di semua pintu masuk negara.

“AKPS sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan pemalsuan dokumen perjalanan.

“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara kekal terpelihara,” katanya.