KEPUTUSAN kerajaan membatalkan pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) sebenarnya bukan petanda lunaknya kerajaan terhadap golongan kaya.
Sebaliknya, langkah itu dibuat setelah mengambil kira keberkesanan serta keberdayaan pelaksanaan sistem percukaian yang lebih menyeluruh dan realistik.
Prinsip HVGT masih wujud dalam bentuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan cukai lima hingga 10 peratus dikenakan terhadap barangan mewah dan pilihan.
Bezanya, pendekatan ini lebih praktikal dari segi pentadbiran cukai dan dapat dilaksanakan segera tanpa mewujudkan sistem baharu yang kompleks seperti dituntut oleh HVGT.
Langkah ini dijangka menjana pendapatan RM5 bilion tahun ini dan meningkat kepada RM10 bilion pada 2026 - jumlah yang tidak kecil untuk membiayai keperluan negara.
Inisiatif berkenaan juga selari dengan agenda reformasi fiskal negara yang merangkumi cukai digital, keuntungan modal serta rasionalisasi subsidi.
Namun begitu, kerajaan tidak boleh leka. Dalam pelaksanaannya, peluasan SST dilihat menyentuh bukan sahaja barangan mewah, tetapi juga perkhidmatan harian seperti penyelenggaraan kenderaan, yuran profesional dan logistik.
Kesemua perkara itu merupakan sesuatu yang turut memberi kesan kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
Apakah benar hanya si kaya yang membayar? Atau sekali lagi, rakyat biasa yang menanggung beban tersembunyi?
Kita akui negara perlukan hasil untuk membiayai pembangunan. Tetapi dalam setiap sen dikutip, mesti ada pertimbangan nilai keadilan dan empati.
Dalam masa sama, kita juga perlu bersikap matang. Tidak semua cukai itu zalim. Jika hasilnya digunakan dengan amanah untuk memperbaiki perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan jaringan keselamatan sosial.
Rakyat sanggup berkorban, asalkan mereka nampak ke mana wang itu pergi.
Namun, persepsi adalah segala-galanya. Jika pada masa yang sama, rakyat melihat pemborosan dalam belanja kerajaan, projek-projek gajah putih diteruskan dan ketirisan terus berlaku tanpa hukuman, maka segala usaha fiskal ini akan dilihat sebagai sandiwara.
Reformasi fiskal tidak harus menjadi beban yang memenjarakan rakyat. Jika benar barangan mewah mahu dikenakan cukai, pastikan yang kaya benar-benar terasa. Yang marhaen jangan dijadikan mangsa.