SELEPAS satu demi satu kejadian membabitkan kewujudan rumah ibadat tanpa kebenaran yang berlaku di negara kita, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengeluarkan satu arahan yang cukup tegas.
Beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan keras terhadap rumah ibadat tanpa kebenaran tersebut bagi memastikan isu berkenaan tidak terus mengundang keresahan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Walaupun menyedari keputusan itu bakal mengundang kontroversi tetapi Perdana Menteri menekankan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati oleh semua.
Ini bukan isu yang seharusnya dipolitikkan atau dijadikan modal untuk diambil kesempatan, sebaliknya melibatkan pelanggaran undang-undang dan hukum yang perlu dibendung segera sebelum ia melarat serta membolehkan ia menjadi isu agama atau perkauman.
Sekurang-kurangnya pengumuman Anwar itu boleh melegakan dan mengendurkan isu akhir ini yang membuatkan banyak pihak kelihatan tegang serta panas.
Jika Perdana Menteri dan kerajaan tidak mengambil keputusan sesegera ini, dikhuatiri panas itu menjadi lebih panjang.
Lebih malang apabila ia tidak mampu dikawal, lama-kelamaan kemarahan yang disimpan itu akan meletus dengan sendiri.
Menurut Perdana Menteri, rumah ibadat perlu mendapat kebenaran dan diletakkan di kawasan khas bukannya mengambil tanah orang lain untuk menjadikan rumah ibadat selain meminta kerajaan memberikan kebenaran melaksanakannya.
Beliau tidak mahu lagi rumah-rumah ibadat ‘naik’ di mana-mana termasuklah di bawah pohon-pohon.
Prinsip asas yang perlu difahami ialah semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja atau kuil tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sama, khususnya berkaitan pemilikan serta kelulusan tanah.
Namun bagi memastikan perkara ini benar-benar mencapai matlamat sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, semua pihak terutamanya PBT perlu mengambil tindakan secepat mungkin untuk melaksanakan peranan mereka.
Arahan Anwar bukannya lagi kosmetik atau sekadar untuk menyedapkan hati sebaliknya tindakan susulan dan jangka masa untuk selesaikan setiap masalah yang timbul ini dalam kadar segera.
Jika tidak, masalah rumah ibadat tanpa kebenaran ini tidak akan selesai sampai bila-bila.