DALAM menempuh kehidupan sehari-hari, pelbagai masalah timbul termasuklah masalah dengan pasangan, anak-anak, rakan sekerja dan sebagainya.
Adakalanya kita termenung sendirian memikirkan punca pergaduhan dengan pasangan, kedegilan anak-anak dan sebagainya.
Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun yang pernah bekerja sebagai perunding rumah tangga menjelaskan, umat Islam yang menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan sepatutnya menyemak kembali pelaksanaan Rukun Islam masing-masing.
“Kalau nak bercerita tentang masalah rumah tangga dan punca-punca rezeki ini, saya akan tanya, 'Encik ada bayar zakat ke?'
“Dia jawab, ‘Saya tak bayar zakat’. Encik bayarlah zakat dahulu.
Tambahnya, begitu juga dengan masalah dengan isteri, isteri yang bermasalah dengan suami dan masalah suami kerap jatuh sakit, selepas mereka melaksanakan kewajipan menunaikan zakat, dengan izin ALLAH masalah tersebut selesai.
“Nampak tidak ada kaitan antara zakat dengan sakit dan zakat dengan perangai anak. Tapi inilah pengalaman saya apabila berhadapan dengan orang yang mempunyai masalah-masalah ini.
“Saya akan tanya dia mengenai lima Rukun Islam ini,” jelasnya.
Ujarnya, umat Islam tidak akan terlepas daripada lima Rukun Islam ini bermula daripada syahadah, solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.
“Solat pula bagaimana? Selepas itu puasa, zakat dan haji.
“Matlamat saya ketika berhadapan dengan mereka, saya berusaha sedaya-upaya agar mereka tidak jadi cerai dan 80 peratus daripada pelanggan yang datang membatalkan hasrat untuk bercerai,” katanya.
Menurut Ustazah Asma’, apabila umat Islam memperbaiki Rukun Islamnya, maka rumah tangganya akan dipulihkan.
“Amalannya baiki kualiti solat, bayar zakat, jaga puasa dan mula menyimpan untuk haji walaupun giliran masih lama, contohnya pada tahun 2080.
Ujarnya, ia bukan soal mampu atau tidak, tetapi sejauh mana kita berusaha untuk memampukan diri sendiri.
“Jangan rasa diri selesa di peringkat tidak mampu. Namun setiap bulan boleh pula berjalan dan menginap di hotel, setiap minggu berbelanja itu dan ini.
“Tapi untuk menyimpan RM40 atau RM50 setiap bulan dalam simpanan Tabung Haji dirasakan amat besar,” tambahnya lagi.
Sedangkan sesiapa yang bersungguh-sungguh menyimpan dan berusaha untuk melaksanakannya, ALLAH SWT pasti akan menjadikannya mampu untuk ke Tanah Suci, ujarnya.