Bekalan menuju akhirat: Pahala atau dosa?

Iklan
APAKAH bekalan yang akan dibawa ke akhirat nanti?

Jakim berpesan agar umat Islam amalkan 'semak sebelum sebar' dan kasihkan negara dengan cara tidak sebarkan kebencian

KEHIDUPAN ini tidak pernah sunyi daripada ujian; ada waktunya manusia diuji dengan kesusahan, kehilangan serta kesakitan dan ada waktunya diuji dengan kesenangan, kesihatan, kekayaan serta kedudukan.

“Kita sering menyangka bahawa ujian hanya datang ketika hidup menjadi susah, sedangkan kesenangan juga ujian.

Iklan
Iklan

ALLAH SWT menjelaskan: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan. Dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’: 35)

Menurut Jakim, jika diperhatikan kepada penutup ayat ini iaitu ‘Kepada ALLAH kita akan dikembalikan’, ia membawa maksud semua manusia sedang berjalan menuju kepada-NYA.

Iklan

“Ada yang menyangka perjalanannya masih panjang, sedangkan ajal tidak pernah menjanjikan hari esok. Setiap hari yang berlalu bermakna umur kita semakin berkurang dan pertemuan dengan ALLAH semakini hampir.

HANYA dengan satu klik, ia boleh menambah bekalan pahala atau dosa.

Iklan

“Oleh itu persoalan terbesar dalam kehidupan bukanlah ‘berapa lama kita akan hidup?’, tetapi apakah yang sedang kita himpun sebagai bekalan untuk dibawa bertemu dengan ALLAH SWT?” soalnya.

Nilai dahulu sebelum kongsi

Khatib menyambung, antara amanah besar pada zaman ini ialah amanah menerima dan menyampaikan maklumat.

“Kita mungkin hanya mengambil masa yang singkat untuk menekan butang kongsi, tetapi kesannya boleh melukakan seseorang, merosakkan sebuah keluarga, menjatuhkan maruah, menimbulkan kebencian dan menggugat keamanan masyarakat,” jelasnya.

Ujar khatib, Islam mendidik umatnya bahawa orang beriman bukanlah orang yang menerima lalu terus menyebarkan.

“Orang beriman akan berhenti, meneliti dan memastikan kebenaran. Kerana itu, bukan semua yang tular itu benar. Bukan semua yang benar perlu disebarkan dan bukan semua yang boleh dikongsi akan membawa kebaikan.

“Sebelum menekan butang kongsi, tanyalah benarkah berita ini? Siapa sumbernya? Apakah kesannya kepada orang lain? Adakah perkongsian ini mendamaikan atau menyalakan permusuhan?

“Jangan kerana mahu menjadi orang pertama yang menyampaikan berita, kita menjadi orang yang paling lama menanggung dosanya,” pesannya.

“Jari yang menaip akan menjadi saksi, perkataan yang ditulis akan dicatat dan maklumat yang disebarkan akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Tanda kasih kepada negara

Sambung khatib, dalam suasana rakyat menyambut Hari Malaysia baru-baru ini, tanyalah kepada diri, apakah erti sebenar mencintai negara?

“Cinta kepada negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, bukan sekadar menyanyikan lagu patriotik dan bukan sekadar menyebut “Aku Kasih Malaysia”.

CINTA negara bukan sekadar mengibar bendera semata-mata.

“Kasih kepada Malaysia mesti dibuktikan melalui tindakan. Kita kasih Malaysia apabila kita menjaga keamanan, menghormati perbezaan dan memperkukuh perpaduan.

“Kita kasih Malaysia apabila kita tidak menyebarkan fitnah, berita palsu dan kandungan yang membangkitkan kebencian,” hurainya.

Pesan khatib lagi, hari ini keamanan negara bukan sahaja boleh digugat oleh senjata, keamanan juga boleh digugat oleh berita palsu, tuduhan tanpa bukti dan kebencian yang disebarkan melalui hujung jari.

“Malaysia yang aman merupakan nikmat yang wajib disyukuri. Keamanan ini tidak terbina dalam sehari, ia lahir daripada pengorbanan, kesabaran dan kesediaan generasi terdahulu untuk hidup bersama meskipun berbeza bangsa, budaya dan latar belakang,” tegasnya.

Janganlah nikmat yang dibina bertahun-tahun kita rosakkan hanya dengan satu hantaran yang belum dipastikan kebenarannya, ujarnya lagi.

“Mencintai Malaysia juga suatu amanah, memelihara keamanan dan perpaduannya boleh menjadi ibadah apabila dilakukan kerana ALLAH.

AJAL itu pasti dan setiap detik yang berjalan mengurangkan umur kita di atas dunia ini.

“Kita tidak mengetahui berapa lama lagi masa yang diberikan. Namun, satu perkara yang pasti, setiap detik yang berlalu tidak akan kembali,” pesan khatib.

Tambahnya, janganlah terlalu sibuk menghitung tanda-tanda akhir zaman sehingga terlupa menyediakan bekalan sendiri.

“Jangan ghairah berbicara tentang bila dunia akan berakhir, sedangkan solat masih ditinggalkan, aurat masih diabaikan, lidah masih mengumpat dan hati masih menyimpan dendam,” ujarnya.